Ikuti Kami:

Kes GISB: 156 Individu Ditahan, 187 Mangsa Bawah Umur Diselamatkan – Ketua Polis Negara

Kes GISB: 156 Individu Ditahan, 187 Mangsa Bawah Umur Diselamatkan – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Fasa keempat Op Global terhadap Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings, yang bermula pada 21 September lalu, telah menyaksikan penahanan 156 individu dan penyelamatan 187 mangsa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media khas di ibu negara pada Isnin mengesahkan bahawa semua suspek yang ditahan akan direman sehingga 28 September bagi membantu siasatan.

Serbuan fasa ini melibatkan 280 premis yang berkait dengan GISB di Semenanjung Malaysia, di mana 221 premis telah dikosongkan lebih awal. Polis percaya ahli-ahli GISB telah melarikan diri sebelum serbuan dilakukan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat kini telah membuka 11 rumah selamat untuk mangsa yang diselamatkan. Pada mulanya, saya menyebut empat, tetapi kini terdapat 11 rumah selamat yang disediakan,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya telah merampas 455 risalah dan logo, 90 telefon bimbit, 16 komputer, 25 haiwan, 13 kenderaan, dan wang tunai berjumlah RM904.

Dalam pada itu, Razarudin mengumumkan bahawa pembekuan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) telah dilakukan ke atas 153 akaun, termasuk 138 akaun dengan jumlah RM882,795.94, serta 15 akaun yang telah ditutup.

Sebanyak 22 motokar bernilai anggaran RM1,872,085.00 dan 14 lot hartanah juga telah dibekukan.

Beliau menambah bahawa polis tidak menolak kemungkinan untuk menjalankan siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), di samping akta lain yang telah dimaklumkan sebelum ini.

Komen
Loading...