Selepas berjanji untuk menyelesaikan tunggakkan bayaran pada 16 Mei, nampaknya penerbit Fauziah Ahmad telah memungkiri lagi janjinya.
Khir Rahman selaku pengarah kepada pementasan teater ini menyuarakan kekesalannya terhadap penerbit iaitu Fauziah Ahmad Daud kerana telah memungkiri lagi janji untuk melunaskan bayaran tertunggak sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Khir, Ogy telah menggunakan khidmat guaman dan menghantar surat bagi menyelesaikan bayaran tertunggak yang dijadualkan berlaku pada 16 Mei lepas. Tetapi mengecewakan apabila pada hari yang telah dijanjikan, sampai pula lagi satu surat untuk menangguhkan bayaran itu.
Difahamkan, penangguhan itu dilakukan kerana kekurangan dana bagi membayar semua kakitangan produksi yang sudah sekian lama menantikan bayaran ini.
Bagi meredakan kemelut yang kian mengusutkan ini, Khir meminta agar Ogy menjelaskan segala hutangnya dalam kadar segera selain menyatakan bahawa dana untuk sesuatu produksi seharusnya dicari sebelum ianya berlangsung bukan selepas tamat.
“Jangan guna kes-kes begini untuk mohon simpati mengaut untung perniagaan. Kami ni bukan pihak yang menekan Kak Ogy sebaliknya kami yang tertekan dengan palsunya janji-janji Kak Ogy.”
Luahnya lagi, kesemua tenaga kerja yang membanting tulang untuk pementasan tersebut telah memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada pelakon wanita itu. Tambahnya lagi, dia tidak pasti bagaimana Ogy akan menyelesaikan bayaran yang merangkumi promosi produksi selama dua minggu dan persembahan untuk tiga malam.
“Saya mohon agar Kak Ogy tunaikan amanah tanggungjawabnya sebagai penerbit. Saya doa agar kemelut ini segera selesai.”
Bukan sahaja Khir, malahan penulis skrip untuk teater Korupsi Dewan Semandung iaitu Aloy Paradoks juga menyatakan rasa kesalnya dengaan penangguhan bayaran ini.
Semoga isu ini selesai dengan secepat mungkin.
Foto : Instagram Ogy Ahmad Daud.
Sumber : Twitter Khir Rahman