Kod Tatalaku Pelesenan Media Sosial Menjelang Hujung Oktober – Fahmi
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijadualkan untuk mengeluarkan kod tatalaku pelesenan perkhidmatan media sosial paling lambat pada hujung Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa pengendali platform media sosial diberi masa dua bulan untuk meneliti dan mendaftar.
“Saya belum mengetahui secara terperinci tetapi mereka (SKMM) dalam proses draf dan dalam tempoh dua minggu dari sekarang, penghujung Oktober mereka akan terbit, jadi saya akan juga dapat lihat,” katanya.
Beliau mengeluarkan kenyataan ini ketika menjadi jemputan pada podcast #BeKindOnline yang dianjurkan oleh Suria KLCC sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Mental 2024 pada hari Khamis.
Fahmi juga menambah bahawa SKMM menerbitkan dokumen tersebut untuk mendapatkan maklum balas serta melaksanakan konsultasi awam, selain meminta platform-platform media sosial untuk memahami dan mendaftar isi kandungannya.
Beliau menekankan bahawa tujuan kerajaan dalam melaksanakan pelesenan media sosial adalah untuk memastikan internet yang lebih selamat.
Dengan ini, katanya, aktiviti scammer dapat dikurangkan, judi dalam talian dapat dikekang, dan kanak-kanak tidak menjadi mangsa jenayah seksual.
Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan bahawa pengendali platform media sosial yang didapati ingkar atau melakukan kesalahan akan berdepan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).