Komitmen Kerajaan dalam Mengatasi Isu Kontraktor Projek Tebatan Banjir Kelantan
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Kerajaan akan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah projek tebatan banjir di Kelantan dan memastikan ia siap mengikut masa yang ditetapkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kerajaan Persekutuan akan memastikan projek berkenaan disiapkan sebagaimana yang dirancang.
“Kini menjelang musim tengkujuh dan Kelantan sering berdepan masalah banjir. Kelantan menjadi salah satu fokus dan projek tebatan banjir kini ada masalah.”
“Saya akan turun sekali lagi ke Kelantan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kita dapat menyiapkan mengikut sebagaimana yang dirancang.”
“Cuma sekarang ini kita mahu menyelesaikan masalah kontraktor,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin.
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan projek tebatan banjir dan loji bekalan air bersih di Kelantan perlu disegerakan.
Perdana Menteri berkata, projek itu perlu dilakukan demi kepentingan rakyat negeri meskipun kedua-dua projek membabitkan kos yang agak tinggi.