Ikuti Kami:

Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih: Misi Angkat Nasyid Ke Peta Dunia

Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih: Misi Angkat Nasyid Ke Peta Dunia

Inteam, kumpulan nasyid popular tanah air bakal meraikan perjalanan seni dan dakwah mereka selama 25 tahun menerusi Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 1 Februari 2026.

Konsert berskala besar itu dianjurkan oleh ICON Entertainment yang berhasrat membawa muzik nasyid ke peringkat antarabangsa sekali gus memperkukuh kedudukan genre berteraskan dakwah dalam industri muzik moden.

Menurut pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, konsert ini bukan sekadar persembahan ulang tahun tetapi satu usaha menyeluruh untuk mengangkat martabat nasyid agar terus relevan dan dihargai generasi baharu.

“Konsert nasyid ini bukan pertama kali saya anjurkan, sebelum ini saya pernah anjurkan beberapa konsert nasyid, tetapi kali ini kami tampil dengan pendekatan yang lebih segar tetapi tetap sederhana.

“Cita-cita saya ialah untuk meletakkan nasyid di peta dunia. Kalau artis pop boleh ke peringkat global, kenapa tidak nasyid,” katanya ketika ditemui sidang media konsert Inteam Nur Kasih di Kuala Lumpur.

Beliau turut mengakui penganjuran konsert di Axiata Arena merupakan cabaran besar namun yakin dengan kekuatan pasukan di belakang tabir.

“Axiata memang mencabar tetapi Alhamdulillah saya ada pasukan yang hebat. Bukan saya seorang tetapi seluruh team daripada designer, operasi hingga ke pengurusan persembahan semuanya memainkan peranan penting dan sentiasa menghasilkan idea baharu,” katanya.

Sementara itu, vokalis utama Inteam Hazamin Harun menzahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa daripada peminat selepas kejayaan konsert di IdeaLive Arena sebelum ini yang menjadi pembakar semangat untuk mereka tampil dengan sesuatu yang lebih besar di Axiata Arena.

“Alhamdulillah saya rasa majoriti penonton di IdeaLive Arena sangat puas hati dan ramai yang mahu datang semula. Ada yang menulis di ruangan komen minta orang lain beri peluang beli tiket tapi mereka sendiri pun nak datang lagi. Itu yang kami nak sebenarnya,” katanya.

Beliau turut menegaskan konsert ini bukan hanya mengenai kejayaan Inteam sebaliknya platform untuk memperkukuh industri nasyid secara keseluruhan.

“Ini bukan hanya tentang kami. Ini peluang untuk mengangkat industri nasyid ke tahap lebih tinggi. Ini juga kali pertama konsert nasyid solo diadakan di Axiata Arena. Kami amat berharap sokongan semua pihak termasuk media dan peminat,” ujarnya

Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih turut menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pembeli tiket bertuah termasuk enam pakej umrah tajaan Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tour Sdn Bhd bernilai RM8,999 setiap satu, baucar tunai RM5,000, dua unit skuter Modenas Elit 150s serta telefon pintar edisi terkini.

Tiket berharga antara RM168 hingga RM488, bergantung kepada kategori tempat duduk, dan akan mula dijual pada Jumaat, 24 Oktober 2025, mulai jam 11 pagi melalui laman web www.ticket2u.com.my/InteamNurKasih.

Komen
Loading...