Peminat kumpulan rock ikonik dunia, My Chemical Romance (MCR), perlu menunggu sedikit lama lagi apabila konsert jelajah mereka di ibu negara secara rasmi ditunda ke November 2026.
Meskipun berlaku perubahan jadual, penganjur Hello Universe mengesahkan bahawa Kuala Lumpur kekal sebagai destinasi tunggal di Asia Tenggara yang akan menyaksikan kumpulan itu beraksi selama dua malam berturut-turut pada 19 dan 20 November 2026.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram rasmi mereka, MCR menjelaskan bahawa keputusan penundaan itu melibatkan semua tarikh jelajah di rantau Asia Tenggara.
Kumpulan tersebut dalam kenyataan sama menegaskan bahawa konsert berkenaan tidak dibatalkan, sebaliknya hanya dijadualkan semula bagi memberi laluan kepada perancangan yang lebih teratur.
“Kami akan menunda tarikh persembahan di Asia Tenggara sehingga November 2026. Persembahan ini tidak dibatalkan! Semua tiket yang telah dibeli akan diterima untuk tarikh baharu tersebut,” kata kumpulan itu menerusi hantaran di Instagram.

Bagaimanapun, bagi peminat yang tidak dapat hadir pada tarikh yang telah dijadualkan semula, MCR memaklumkan bahawa proses bayaran balik (refund) akan disediakan mengikut pasaran atau negara spesifik masing-masing.
Mereka turut menyatakan rasa tidak sabar untuk bertemu peminat di rantau ini dan mengesahkan bahawa semua jadual konsert lain bagi tahun 2026 akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.
Langkah penganjur dan pihak band yang mengekalkan kesahihan tiket sedia ada disambut baik oleh komuniti peminat.
Rata-ratanya memilih untuk terus menyimpan tiket masing-masing demi menyaksikan persembahan sulung MCR di Malaysia selepas kali terakhir berkunjung ke sini pada 2007.
Pihak penganjur, Hello Universe, dijangka akan menyalurkan maklumat lanjut mengenai prosedur teknikal bayaran balik dan perincian lokasi konsert dalam masa terdekat.




