Konsert Our Journey Bukti Muzik 90an Terus Hidup di Hati Peminat
- oleh Gerbang Daily
- 28 Jul 2025 11:52 am
Konsert Slam X Exists Our Journey yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu bukan sekadar persembahan biasa. Ia adalah bukti nyata bahawa muzik era 90an masih berakar kuat dalam jiwa peminat muzik Malaysia.
Gabungan dua ikon legenda iaitu Slam dan Exists menyatukan dua suara tersohor, Ezad Lazim dan Zamani Ibrahim, dalam satu pentas yang menghidupkan semula kenangan dan emosi generasi yang membesar dengan lagu-lagu mereka.
Penonton yang membanjiri arena menyambut penuh semangat momen bersejarah ini, menjadikan malam tersebut sebagai salah satu konsert paling berbekas tahun ini.
Exists membuka tirai dengan Jesnita, disampaikan secara duet bersama Zamani, sebelum mereka menyambung dengan Kembali Merindu, sebuah lagu asal Slam yang turut dinyanyikan bersama.
Kedua-dua penyanyi membawa penonton merentasi masa dengan rangkaian lagu seperti Seperti Dulu, Mama Tolonglah Percaya, Anugerah II, Masih Terserlah Ayumu, Tak Mungkin Berpaling, Kapal Terbang Kertas, Bunga, Julia dan Percayakan Siti.

Lagu-lagu seperti Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan dan Mengintai Dari Tirai Kamar turut mengundang nyanyian beramai-ramai. Ini membuktikan bahawa lirik dan melodi era itu masih segar dalam ingatan ramai.
Slam mengambil alih pentas dan membuka segmen mereka dengan lagu-lagu seperti Nurkisah, Kita Terpaksa Bermusuhan, Kurnia, Jika Kau Rasa Getarnya, Suratan dan Manisnya Rindu. Dengan vokal penuh jiwa dan karisma yang tidak pudar, Zamani menguasai pentas dengan aura tersendiri.
Segmen ini diteruskan dengan persembahan lagu Untukmu Ibu, Biarkan Ia Pergi, serta medley istimewa Bukan Niat Membalas Derita dan Buat Seseorang daripada filem Maria Mariana, sebelum penonton berdiri menyambut Gerimis Mengundang dan Mentari Muncul Lagi.
Ezad dan Zamani kembali bersatu menerusi lagu duet Kembali Terjalin, memperlihatkan keharmonian vokal mereka dalam menyampaikan lagu-lagu ikonik dengan nafas baharu.
Sebagai penutup konsert, kedua-dua penyanyi bergabung dalam lagu istimewa Alasanmu 2025 yang digubah semula dan disampaikan dengan penuh emosi.
Konsert Slam X Exists Our Journey adalah penghormatan kepada zaman keemasan muzik Malaysia dan bukti bahawa irama dan lirik yang tulus dari era 90an kekal hidup dalam setiap jiwa yang hadir.




