Konsert Unplugged Spider Temui Peminat di Mega Star Oktober Ini
- oleh Gerbang Daily
- 2 minggu lalu

Kumpulan rock legenda tanah air, Spider, bakal menjayakan konsert eksklusif berkonsepkan unplugged yang dijadual berlangsung pada 25 Oktober ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Dikenali dengan gaya muzik rock yang disulami elemen ska serta lirik yang puitis, konsert bertajuk Spider Unplugged Concert itu bakal memberi peluang kepada peminat menyaksikan sisi berbeza kumpulan yang mula menempa nama dalam industri sejak 1996.
Konsert ini dianjurkan oleh Naga Legend Entertainment dan dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti tahun ini, apatah lagi Spider sebelum ini terkenal dengan persembahan bertenaga dan lagu-lagu ikonik seperti Aladdin, Relaku Pujuk, Cinta Dewa Dewi dan Kasih Latifah.
Menurut wakil penganjur, Fandy Alias, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya satu bentuk penghargaan terhadap sumbangan Spider dalam industri hiburan tempatan.
“Kami berbesar hati apabila Spider bersetuju untuk tampil dalam konsert unplugged ini. Ia satu platform untuk mereka mendekati peminat dalam suasana lebih intim, dengan susunan muzik akustik yang emosional dan mewah,” katanya.
Spider yang dianggotai oleh Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bass) dan Pown (gitar), turut menyatakan keterujaan mereka untuk menyampaikan muzik dalam bentuk yang lebih jujur dan bersahaja.
“Kami tidak mahu sekadar mengikut trend. Setiap persembahan mesti ada identiti tersendiri. Konsert unplugged ini ialah ruang untuk kami berinteraksi secara lebih dekat dengan peminat yang sentiasa menyokong sejak awal,” kata Tam.
Sepanjang hampir tiga dekad dalam industri, Spider bukan sahaja menghasilkan lagu-lagu popular, malah pernah merangkul beberapa anugerah berprestij termasuk Juara Lagu 2004 dan Album Pop Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2005.
Tiket bagi Spider Unplugged Concert mula dijual pada 25 April lalu menerusi laman web rasmi www.ilassotickets.com/spiderunplugged, dengan harga bermula RM198 hingga RM388 mengikut kategori tempat duduk.
Peminat dinasihatkan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan kerana konsert-konsert Spider sebelum ini sering mencatat jualan tiket yang memberangsangkan.