KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menamatkan kontrak pengendali makanan di Maktab Rendah Sains Mara di Taiping.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, kontraktor turut disaman dan tuntutan ganti rugi melalui mahkamah.
Menurut beliau, tindakan tegas itu sebagai iktibar untuk yang lain.
Sebelum ini, Asyraf berkata, pihaknya akan mengheret kontraktor dewan selera MRSM Taiping yang bersikap sambil lewa dan mengabaikan kebersihan bakal diambil tindakan mahkamah.
Tindakan itu dibuat selepas beliau sendiri telah menghubungi kontraktor terbabit untuk mendapatkan penjelasan daripada pengendali berkenaan namun jawapan yang diterima amat mendukacitakan.
Asyraf pernah berkongsi rakaman video panggilan telefon dengan wakil pengendali dewan makan itu ketika beliau mengadakan lawatan mengejut di MRSM tersebut.
“Kita boleh tahan ke kalau cicak nak berak” jawab kontraktor dewan selera MRSM Taiping dengan bongkak bila saya tanya kenapa dapur kotor dengan tahi cicak dan tidak dibersihkan.
“Memang confirm (pasti) akan saya ambil tindakan tegas termasuk memberhentikan kontrak dan tindakan mahkamah pada kontraktor yang ambil sikap sambil lewa hingga mencetuskan risiko kesihatan kepada anak-anak pelajar,” kata Asyraf.