Ikuti Kami:

KRU & Icon Entertainment Catat Sejarah Raih Dua Pengiktirafan Malaysia Book of Records

KRU & Icon Entertainment Catat Sejarah Raih Dua Pengiktirafan Malaysia Book of Records

Kumpulan muzik terkenal tanah air, KRU, bersama penganjur konsert Icon Entertainment (M) Sdn Bhd melakar sejarah tersendiri apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) hasil kejayaan penganjuran Konsert GenKRU 2025 yang berlangsung selama empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pengiktirafan pertama, Most Show in a Single Concerts Series, dianugerahkan kepada trio adik-beradik Datuk Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim, selepas KRU berjaya mementaskan empat malam persembahan berturut-turut pada 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025.

“Kejayaan ini bukan hanya milik KRU, tetapi penghargaan buat peminat yang telah menjadikan Konsert GenKRU 2025 berkembang daripada satu malam kepada empat malam penuh,” kata Norman mewakili KRU selepas majlis penyerahan sijil pengiktirafan daripada MBR.

Dalam pada itu, Icon Entertainment turut menerima pengiktirafan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour selepas mencatat penjualan sebanyak 8,000 tiket dalam tempoh hanya satu jam.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti sokongan luar biasa peminat terhadap KRU dan konsert yang dianjurkan.

“Kami berterima kasih kepada MBR atas pengiktirafan ini dan yang paling utama kepada para peminat KRU yang telah menjadikan Konsert GenKRU 2025 sebagai satu peristiwa gemilang dalam industri hiburan tanah air,” ujarnya.

Konsert GenKRU yang dihadiri lebih 30,000 peminat turut dimeriahkan dengan kemunculan artis undangan istimewa seperti kumpulan Feminin, Elite dan penyanyi Adam AF.

Komen
Loading...