Lebih 83,000 Murid Manfaat dari Program Anak Kita: Inisiatif untuk Atasi Keciciran Pembelajaran
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
BATANG KALI: Sebanyak 83,752 murid dari 3,458 sekolah di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan fasa satu Program Anak Kita yang bertujuan untuk mengatasi masalah keciciran dalam pembelajaran di negara ini.
Memetik Bernama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa pelaksanaan ini melibatkan tiga komponen utama, iaitu Program 3M (membaca, mengira, dan menulis), Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Program Murid Cicir.
“Untuk Program 3M, ia melibatkan 53,252 murid pemulihan khas tahun dua hingga enam dari negeri Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah, dan Sarawak, manakala Program SPM di seluruh negara merangkumi 10,000 murid Tingkatan Lima (SPM 2024) serta 20,000 murid Tingkatan Empat (SPM 2025).
“Bagi Program Murid Cicir pula, ia akan melibatkan 500 murid yang mengalami keciciran dari enam negeri, iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah, dan Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Anak Kita di Sekolah Kebangsaan Rasa di sini, hari ini.
Program ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui tayangan video dan turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Fadhlina menekankan bahawa isu kemiskinan terus menjadi naratif utama dalam keciciran anak-anak dalam pelajaran, selain faktor sosial lain.