Ikuti Kami:

Longkang Tidak Diselenggara Cetus Runtuhan di Taman Melawati, MPAJ Arah Henti Pembinaan di Lokasi Tanah Runtuh

Longkang Tidak Diselenggara Cetus Runtuhan di Taman Melawati, MPAJ Arah Henti Pembinaan di Lokasi Tanah Runtuh

Limpahan air dari longkang yang dipenuhi batu dan tanah dikenal pasti sebagai punca kejadian tanah runtuh yang berlaku pagi semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menjelaskan bahawa masalah longkang yang tidak diselenggara ini bukanlah kejadian baru.

“Benar terdapatnya longkang tersumbat oleh batu dan tanah hingga menyebabkan berlakunya limpahan sejak beberapa hari lalu, namun semalam dijangkakan amat luar biasa disebabkan hujan lebat dalam tempoh yang panjang,” ujarnya selepas meninjau lokasi kejadian pagi tadi.

Memetik Berita Harian, Amirudin juga memaklumkan bahawa longkang di kawasan tersebut masih di bawah tanggungjawab pemaju dan pemilik tanah. Pihak berkuasa telah mengeluarkan notis supaya mereka segera melakukan penyelenggaraan bagi mencegah kejadian serupa berulang.

Selain itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengarahkan supaya sebarang kerja pengubahsuaian atau pembinaan dihentikan sehingga laporan penuh dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dikeluarkan.

“Berdasarkan siasatan kita, tiada sebarang kerja pembangunan sedang dilaksanakan di atas bukit yang menyebabkan gelongsoran tanah. Bagaimanapun, terdapat kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan oleh pemilik tanah yang membeli lot tanah dari pemaju dan perkara itu juga sedang disemak,” tambahnya.

Sementara itu, beliau menekankan bahawa kawasan berkenaan, yang sering digunakan penduduk untuk aktiviti riadah, akan ditutup buat sementara waktu sehingga JMG memastikan kawasan tersebut benar-benar selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin menjangkakan penduduk di tujuh daripada 20 kediaman yang terjejas di Jalan E6 dapat pulang ke rumah dalam masa dua hingga tiga hari.

Komen
Loading...