
Kehebatan vokal dan karisma luar biasa Cakra Khan sekali lagi memukau peminat Malaysia apabila penyanyi bersuara serak basah itu menggegarkan Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dalam konsert solo eksklusif bertajuk Divine Concert Cakra Khan malam tadi.
Ribuan peminat hadir bagi menyaksikan malam yang penuh emosi, keindahan muzik dan magis persembahan secara langsung, yang menggabungkan sentuhan vokal bertenaga dengan susunan muzik baharu dan penampilan istimewa bintang serantau.
Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu membuka tirai dengan lagu Setelah Kau Tiada, Persinggahanmu, Mencari Cinta Sejati, Kau Memilih Dia, Salah Tapi Baik dan Nanti.
Penonton turut dihidangkan dengan Rindu Tak Bersuara bersama Trio XL, Adalah Aku, Tak Sejalan serta gandingan hebat bersama Titi DJ dan Faizal Lubis menerusi Layar dan Sang Dewi.
Lagu Take The Pain mengisi pertengahan malam sebelum segmen kolaborasi bersama Marsha Milan menerusi Seluruh Cinta dan Hening Rindu mencuri perhatian.
Tidak kurang hebat, Cakra mempersembahkan Kepada Hati, Terlanjur Cinta serta rangkaian lagu bersama Ade Govinda seperti Masing Masing, Hal Hebat dan Kamu Adalah.
Persembahan diteruskan dengan Mencintaimu, medley Treasure / Never Felt So Good / September, Bunyi Gitar, Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah sebelum menyusul encore menyentuh hati menerusi I Will Always Love You.
Lebih mengujakan, pentas turut diserikan dengan penampilan artis undangan hebat dari Malaysia dan Indonesia termasuk Titi DJ, Marsha Milan, Ade Govinda, Faizal Lubis dan Trio XL.
Gandingan mereka menambahkan kesan dramatik dan kejutan sepanjang malam sekaligus membawa penonton merasai satu pengalaman muzik yang mendalam dan menyentuh jiwa.
Divine Concert Cakra Khan menutup tirai dengan laungan sorakan bergema dan tepukan gemuruh, mengukuhkan kedudukan Cakra sebagai salah satu bintang besar rantau ini yang sentiasa membawa kejujuran dalam setiap bait lagu yang dinyanyikan.