Mahkamah Persekutuan Gantikan Hukuman Mati Azilah dengan Penjara 40 Tahun dan 12 Sebatan
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri, dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 18 tahun lalu.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bersama dua hakim lain, membenarkan permohonan semakan hukuman mati oleh Azilah, 48.
“Permohonan pemohon dibenarkan, hukuman gantung diganti dengan pemenjaraan 40 tahun dan 12 sebatan,” kata Tengku Maimun.
Memetik Berita Harian, Azilah mengemukakan semakan selepas Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 memberi kuasa budi bicara kepada hakim untuk mengenakan hukuman penjara hingga 40 tahun.
Pada 2009, Azilah dan Sirul Azhar Umar disabitkan membunuh Altantuya, tetapi Mahkamah Rayuan membebaskan mereka pada 2013. Sirul kini berada di Australia selepas melarikan diri sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2015 yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati mereka.
Azilah juga sebelum ini memohon pengampunan diraja daripada Sultan Selangor susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang memberikan peluang bagi pesalah untuk disemak semula hukuman mereka.
Akta ini memberi hakim kuasa untuk menjatuhkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun bagi kes pembunuhan, sekiranya hukuman mati tidak dikenakan.
Pada 2022, keluarga Altantuya memenangi saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak Baginda, dan kerajaan Malaysia, dengan Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM5 juta. Namun, kes ini masih di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.