Malam Mendengar Nadin Amizah: Showcase Intim dengan Gubahan Orkestra Habis Terjual
- oleh Muhammad Hasib
- 7 hari lalu

Showcase Malam Mendengar Nadin Amizah, yang dijadualkan berlangsung esok malam di Zepp Kuala Lumpur, telah habis terjual, membuktikan daya tarikan penyanyi Indonesia ini di kalangan peminat Malaysia.
Showcase ini dianjurkan oleh Renjana Idea dan bakal menyajikan pengalaman unik melalui gubahan muzik berasaskan orkestra yang disusun khas untuk malam istimewa ini.
Nadin Amizah, penyanyi dan penulis lagu yang dikenali dengan sentuhan puitis, menjelaskan bahawa showcase ini membawa makna yang mendalam.
“Susunan muziknya sangat istimewa kerana ini kali pertama saya membawakannya di Malaysia. Saya ingin menjadikannya sebuah acara yang luar biasa, jadi besar kemungkinan ia tidak akan saya ulangi di sini.” katanya.
Persembahan esok juga akan menampilkan lebih daripada 10 lagu, yang dibawakan dalam versi Malam Mendengar di Jakarta sebelum ini.
Nadin turut berkongsi bahawa persembahan ini adalah hasil kerjasama erat bersama Lasta Pratom selaku pengarah muzik, yang mencipta susunan lagu terbaik sepanjang kariernya.
Meskipun format asal di Jakarta membolehkan penonton berbaring sambil menikmati persembahan, Nadin menegaskan bahawa orkestra yang dibawanya mampu membuai emosi dan mencipta pengalaman yang serupa dalam suasana duduk.
“Saya memang impikan untuk buat persembahan yang orang boleh dengar sambil baring. Walaupun susah nak laksanakan di sini, saya pilih untuk sampaikan rasa itu melalui muzik orkestra, tapi yang lembut dan mendalam,” katanya.
Dengan turut dibantu lebih daripada 40 pemuzik di atas pentas, persembahan esok turut menandakan penampilan pertama Nadin dengan gaya berambut perang dan senarai lagu yang lebih matang serta berani.