Ikuti Kami:

Malik Streams Bawa Fenomena Coolie Ke Pawagam Malaysia

Malik Streams Bawa Fenomena Coolie Ke Pawagam Malaysia

Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. sekali lagi mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pengedaran filem antarabangsa di Malaysia apabila membawa filem aksi thriller Tamil terhangat, Coolie, ke pawagam seluruh negara bermula 14 Ogos ini.

Filem arahan Lokesh Kanagaraj dan terbitan Kalanithi Maran ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat termasuk Superstar Padma Bhushan Rajinikanth, Aamir Khan, Pooja Hegde, Nagarjuna Akkineni, Soubin Shahir, Shruti Haasan, Upendra, Reba Monica John, Kishore Kumar G. dan Sathyaraj.

Coolie bukan sekadar filem aksi biasa, sebaliknya menjadi simbol penghargaan kepada Rajinikanth yang meraikan 50 tahun kerjaya dalam industri perfileman.

Berdurasi 169 minit dan diklasifikasikan sebagai tontonan 18, ia ditayangkan dalam bahasa Tamil dengan sari kata Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Mengisahkan seorang coolie yang bangkit menentang kerakusan dan korupsi demi membela golongan tertindas, Coolie memikat penonton dengan jalan cerita penuh emosi, adegan aksi mendebarkan serta karisma ikonik Rajinikanth.

Sebelum tayangan umum, satu sesi tayangan perdana telah diadakan di TGV Pavilion Bukit Jalil yang dihadiri oleh wakil pengedar, media, dan pengkritik filem tempatan.

Acara tersebut menjadi platform untuk memperkenalkan Coolie kepada khalayak media dan mencetuskan keterujaan awal dalam kalangan peminat filem aksi Tamil.

Pengasas Malik Streams, Dato’ Malik, berkata pihaknya bangga menjadi pengedar rasmi Coolie di Malaysia.

“Kami sentiasa komited untuk membawa filem-filem berkualiti tinggi kepada penonton tempatan. Coolie adalah sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mengangkat semangat perjuangan rakyat,” katanya.

Sejak tayangan perdananya, Coolie telah mencatat kutipan hari pertama tertinggi di dunia bagi filem Tamil, mengukuhkan statusnya sebagai fenomena global.

Peminat di Malaysia kini berpeluang menjadi sebahagian daripada gelombang Coolie di pawagam seluruh negara mulai 14 Ogos.

Komen
Loading...