MCR Cipta Rekod, Dua Malam Bukit Jalil Gegar Dengan 120,000 Peminat
- oleh Gerbang Daily
- 2 bulan lalu

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal bergetar dua malam berturut-turut apabila kumpulan rock ikonik dari Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), mencipta sejarah dengan kehadiran 120,000 peminat pada konsert mega yang dijadual berlangsung 30 April dan 1 Mei 2026.
Fenomena luar biasa itu tercetus selepas tiket untuk kedua-dua malam habis terjual hanya dalam beberapa jam, menjadikan Malaysia satu-satunya negara dalam siri Jelajah Asia Tenggara MCR yang dianugerahkan dua malam persembahan berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil, menyifatkan kejayaan ini sebagai rekod baharu bukan sahaja buat stadium, malah buat rantau ini.
“Pertama kali dalam sejarah, perkara ini berlaku. Kita tidak pernah buat konsert malam kedua dalam stadium besar ini. Seramai 120,000 peminat akan hadir untuk konsert pada kedua-dua malam itu.
“Jadi, ini merekod jumlah penonton paling besar di rantau ini. Selari dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, kira-kira 30 peratus daripada pembeli tiket adalah peminat dari luar negara. Ini bermakna kita berjaya menarik kira-kira 40,000 pelancong muzik ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, PSM turut terbabit secara aktif dalam usaha membawa MCR ke Kuala Lumpur.
“Kita bekerjasama rapat dengan Hello Universe untuk memudahkan penganjuran ini. Kita mahu jadikan Malaysia sebagai lokasi persembahan terbesar di rantau ini. Jika di Singapura, Indonesia atau Thailand, kebanyakannya diadakan dalam stadium tertutup.
“Ini pendekatan baharu oleh PSM untuk menarik lebih banyak artis ‘A-List’ antarabangsa membuat persembahan di Malaysia,” jelasnya sambil memberi bayangan beberapa konsert mega lain bakal diumumkan tidak lama lagi.
Bagi memastikan kelancaran, PSM juga sudah menyediakan garis panduan khusus untuk menjaga padang stadium.
“Kesan kepada rumput mesti ada, tetapi kita pastikan ia minimum. SOP tetap sama, cuma ada sedikit penyesuaian masa. Tahun lalu, kita sudah berjaya kawal kerosakan padang pada tahap minimum,” tambahnya.
Konsert dua malam MCR ini bukan sahaja mencatat rekod penonton terbesar, malah dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan, penginapan serta industri hiburan negara.
Penganjur rasmi, Hello Universe, dalam satu kenyataan menzahirkan penghargaan atas sokongan luar biasa peminat.
“Sambutan ini mencerminkan betapa kuatnya pengaruh My Chemical Romance di rantau ini, lebih dua dekad selepas mereka muncul dalam dunia muzik alternatif global,” menurut kenyataan itu.
Maklumat terkini serta pengumuman lanjut mengenai konsert boleh diikuti melalui media sosial rasmi Hello Universe di @hellouniversemy (Instagram, TikTok dan X).
Dengan kejayaan bersejarah ini, dua malam persembahan My Chemical Romance di Kuala Lumpur bakal dikenang sebagai antara detik paling gemilang dalam sejarah hiburan tanah air.