Mencari Al-Qadar: Mövenpick KLIA Sajikan Iftar Bertazkirah Bersama Ustazah Nazirah, Ustaz Fakhrur
- oleh Gerbang Daily
- 13 Mar 2026 1:37 pm
Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA menampilkan kelainan dalam pengalaman berbuka puasa tahun ini melalui penganjuran program ‘Pesona Selera Ramadan & Tazkirah Istimewa: Mencari Al-Qadar’ yang dijadualkan berlangsung pada 14 Mac ini.
Program yang diadakan di Dataran, Pusat Konvensyen itu bukan sekadar menawarkan sajian enak, malah diperkaya dengan pengisian rohani bagi mempersiapkan tetamu menjelang fasa 10 malam terakhir Ramadan.
Sesi tazkirah khas bertemakan “Mencari Al-Qadar” bakal disampaikan oleh dua pendakwah terkenal, Ustazah Nazirah Abu Bakar dan Ustaz Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman.
Menurut penganjur, perkongsian itu bertujuan memberi peringatan tentang kepentingan menghidupkan malam-malam terakhir dengan penuh keimanan, keinsafan, dan pengharapan kepada rahmat Allah SWT.
“Melalui sesi ini, hadirin diajak menghayati keistimewaan malam Lailatul Qadar yang dijanjikan ganjaran lebih baik daripada seribu bulan.
“Ia juga menekankan bahawa pencarian malam tersebut bukan sekadar menunggu tanda-tanda fizikal, sebaliknya menuntut kesungguhan dalam memperbanyakkan ibadah seperti solat malam, tadarus al-Quran, zikir, serta amalan kebajikan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, sesi tersebut turut menjadi platform muhasabah diri bagi para tetamu untuk memohon keampunan dan memperbaharui azam menjadi insan lebih baik selepas Ramadan.
Sesi tazkirah akan bermula pada jam 6.00 petang hingga 6.40 petang, disusuli dengan hidangan iftar sehingga jam 10.30 malam.
Bufet Pesona Selera Ramadan ditawarkan pada harga bermula RM158+ untuk dewasa, RM110+ bagi warga emas, manakala kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dikenakan bayaran RM85+.
Memandangkan tempat adalah terhad, orang ramai yang ingin merasai pengalaman berbuka puasa yang menggabungkan elemen kulinari dan kerohanian ini digalakkan membuat tempahan awal.
Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 010-220 5812 atau 03-8661 8723.




