KLUANG: MIC yakin undi kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ia berdasarkan maklum balas positif pengundi yang diterima ketika berkempen di pusat daerah mengundi (PDM), selain usaha berterusan kerajaan Johor menjaga kebajikan kaum India.
“Penduduk di sini dapat melihat bagaimana BN memastikan permasalahan dihadapi pengundi diselesaikan, selain calon kita juga adalah calon yang baik, muda serta ada pengalaman politik dan datang dari keluarga banyak berjasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Masyarakat India sempena PRK itu di sini semalam.
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi BN; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Syed Hussien.
Vigneswaran berkata, MIC akan mempergiatkan kempen bagi mengingatkan pengundi India untuk tidak terpedaya dengan cubaan pembangkang menarik undi daripada BN.
Sementara itu, Syed Hussien berikrar menunaikan janji untuk berkhidmat secara ‘buta warna’ kepada semua penduduk, jika diberikan mandat rakyat menerusi PRK itu.
PRK DUN Mahkota yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.