Ikuti Kami:

Nadin Amizah Pukau Peminat Malaysia Dalam Malam Mendengar Di Zepp KL

Nadin Amizah Pukau Peminat Malaysia Dalam Malam Mendengar Di Zepp KL

Penyanyi dan penulis lagu dari Indonesia, Nadin Amizah, membuktikan pengaruh kuatnya di kalangan peminat tempatan apabila tiket Showcase Malam Mendengar Nadin Amizah yang berlangsung malam tadi di Zepp Kuala Lumpur habis terjual seawal pengumuman.

Dianjurkan oleh Renjana Idea, persembahan eksklusif itu menyajikan pengalaman muzik yang berbeza menerusi gubahan orkestra yang disusun khas untuk malam bersejarah ini.

Tampil dengan gaya berambut perang, penampilan pertama Nadin di Malaysia ini nyata luar biasa apabila beliau membawakan lebih 10 lagu yang telah dipersembahkan dalam siri Malam Mendengar di Jakarta sebelum ini.

Antara kelainan utama adalah susunan muzik yang dicipta bersama pengarah muzik Lasta Pratom, yang menurut Nadin, merupakan antara karya terbaik dalam kerjaya seninya.

Lebih 40 pemuzik mengiringi Nadin di atas pentas, menambah keindahan kepada persembahan yang sarat emosi dan puitis.

“Perkenalkan, nama saya Nadin Amizah. Saya berasal dari Indonesia, membawa lagu-lagu ciptaan saya sendiri, diuruskan sendiri, dan turut ditemani teman-teman lain,” katanya pada ribuan peminat.

Persembahan malam tadi menyaksikan susunan trek yang padat dan menyentuh perasaan. Ia bermula dengan Intro – Overture, sebuah pembukaan orkestra yang membina suasana hening dan puitis sebelum mengalir masuk ke Sorai, lagu yang mencerminkan semangat dan harapan.

Seterusnya, Semua Aku Dirayakan menampilkan lirik yang merangkum pencarian jati diri, diikuti Di Akhir Perang, yang menyentuh soal kelelahan emosi dan ketenangan pasca konflik batin.

Pentas terus dihidupkan dengan Rumpang, sebuah lagu yang sangat sinonim dengan identiti Nadin, melankolik, jujur dan merobek perasaan.

Ia kemudian disusuli dengan Teralih – Kekal, satu gabungan karya introspektif yang berbicara tentang perubahan dan ketetapan hati.

Bertaut hadir sebagai antara kemuncak malam, menyentuh hubungan dan kasih sayang yang erat, sebelum Nadin membawa penonton ke dalam dunia Rayuan Perempuan Gila, sebuah lagu yang sarat simbolik dan sangat popular dalam kalangan peminat di Malaysia, menampilkan perspektif seorang wanita yang berani melawan norma dan stereotaip masyarakat.

Menuju ke penghujung, penonton dibuai dengan Bunga Tidur, lagu yang lembut dan berbau mimpi, sebelum rehat terakhir membuka ruang untuk dua penutup agung  Seperti Tulang, yang mendalam dan reflektif, dan Sorak Sorai, yang membawa kembali semangat kolektif dan kesatuan perasaan seluruh dewan.

Kehadiran peminat yang memenuhi ruang Zepp KL jelas membuktikan kehadiran Nadin bukan sekadar dinanti, tetapi diraikan dengan penuh rasa hormat dan penghargaan.

Malam tersebut bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi satu pengalaman jiwa yang sukar dilupakan.

Komen
Loading...