Netanyahu tolak gencatan senjata, dakwa jauh daripada tuntutan Israel
- oleh Samad Mohd
- 8 bulan lalu
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam secara terbuka menolak cadangan gencatan senjata Gaza yang diterima Hamas.
Isnin lalu, kumpulan pejuang Palestin itu menerima cadangan gencatan senjata dibuat Qatar dan Mesir.
“Israel tidak boleh menerima cadangan yang membahayakan keselamatan rakyat dan masa depan negara,” kata Netanyahu dalam mesej video.
Beliau mendakwa cadangan itu bertujuan mensabotaj kemasukan pasukan mereka ke Rafah.
“Itu tidak berlaku,” katanya, menegaskan bahawa cadangan itu “sangat jauh daripada tuntutan penting Israel.”
‘Dalam beberapa jam, pasukan kami menaikkan bendera Israel di lintasan sempadan Rafah dan menurunkan bendera Hamas,” kata Netanyahu.
“Kami telah membuktikan bahawa tekanan tentera ke atas Hamas adalah syarat yang diperlukan untuk mengembalikan tebusan kami.”
Tentera Israel berkata briged perisai ke-401nya telah merampas kawalan di sebelah Palestin di lintasan Rafah di selatan Gaza.
Lintasan sempadan Rafah adalah laluan penting untuk bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, yang berada di bawah kepungan Israel sejak 7 Oktober lalu yang menyebabkan penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Kelmarin, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan untuk penduduk Palestin di timur Rafah, satu langkah yang dilihat secara meluas sebagai permulaan kepada serangan Israel ke atas bandar itu, yang menempatkan kira-kira 1.5 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Israel menggempur Semenanjung Gaza sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang.
Hampir 34,800 rakyat Palestin telah terbunuh sejak itu di Gaza, sebahagian besar daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak, dan 78,100 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Tujuh bulan selepas perang Israel, kawasan Gaza yang luas musnah, mendorong 85 peratus penduduk di wilayah terkepung itu ke perpindahan dalaman di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan itu dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.