Ikuti Kami:

Nusa Fest Presents: Nidji, Bunkface Pamer Persembahan Bertenaga

Nusa Fest Presents: Nidji, Bunkface Pamer Persembahan Bertenaga

Kumpulan rock ternama Indonesia, Nidji, dan ikon punk-rock tempatan, Bunkface, membuktikan kredibiliti mereka apabila mempamerkan persembahan bertenaga dalam konsert Nusa Fest Presents di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.

Konsert anjuran Shiraz Projects itu berjaya menghimpunkan ribuan peminat muzik rock dari kedua-dua negara dalam satu acara yang penuh dengan kualiti vokal dan teknikal.

Bunkface, yang memulakan tirai persembahan, tampil konsisten menerusi 13 buah lagu termasuk Malam Ini Kita Punya, Situasi, dan Revolusi.

Vokalisnya, Sam, dilihat mengekalkan stamina dan kualiti vokal yang mantap, manakala susunan muzik yang dipersembahkan kekal kemas, sekali gus mencetuskan suasana ‘sing-along’ yang hebat dalam kalangan penonton.

Sementara itu, kumpulan Nidji yang kini diterajui vokalis baharu, Ubay, turut memberikan saingan sengit menerusi persembahan yang penuh interaksi.

Selain membawakan lagu-lagu hits seperti Laskar Pelangi dan Hapus Aku, Nidji turut membuat kejutan dengan menyenaraikan lagu-lagu yang jarang dimainkan (rare tracks) seperti Wadoow dan Zayang-Zayang.

Reaksi positif peminat jelas kelihatan apabila Ubay berjaya mengawal pentas dengan vokal yang bertenaga, selain menghargai sokongan peminat tempatan menerusi lagu Teman Sejati (OST Ejen Ali The Movie 2).

Secara keseluruhan, penganjuran Nusa Fest Presents kali ini bukan sahaja berjaya mempamerkan kualiti persembahan bertaraf tinggi, malah memperkukuh hubungan industri muzik serantau antara Malaysia dan Indonesia.

Komen
Loading...