Ikuti Kami:

Paraxnormal Gabung Seram & Komedi, Temui Penonton 28 Ogos

Paraxnormal Gabung Seram & Komedi, Temui Penonton 28 Ogos

Filem Paraxnormal bakal menghiasi pawagam seluruh negara mulai 28 Ogos ini dengan menawarkan kelainan melalui gabungan unik elemen seram psikologi dan komedi gelap yang diyakini mampu menarik pelbagai lapisan penonton.

Diterbitkan Nanord Studio Production, karya ini bukan sahaja menampilkan kisah makhluk ghaib, malah mengangkat konflik persahabatan yang penuh dengan humor, panik dan kejutan.

Penerbitnya, Nurul Ain Nordin, menyifatkan gabungan genre tersebut sebagai percaturan berani bagi memenuhi selera penonton yang mahukan hiburan berbeza.

“Kami percaya genre ini masih mempunyai peminat tersendiri dan akhirnya tercetuslah idea untuk menghasilkan Paraxnormal yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi membawa mesej mendalam tentang erti ‘kadang-kadang yang seram bukan hantu, tapi member sendiri’,” katanya pada sidang media dan malam gala di GSC IOI Mall Damansara, semalam.

Menurut Ain, filem ini pada asalnya dirancang sebagai telefilem, namun akhirnya diangkat menjadi sebuah filem.

“Pada awalnya ia hanya dirancang sebagai telefilem, namun ketika proses suntingan saya terfikir, mengapa tidak dijadikan filem supaya filem mendapat pendedahan yang lebih luas,”

“Selepas mendapat persetujuan daripada lembaga pengarah, karya yang asalnya telefilem ini terus diangkat menjadi filem. Harapan saya agar kutipan yang diperoleh nanti memberangsangkan dan jika ada rezeki, kita akan hasilkan Paraxnormal 2,” katanya.

Beliau turut mendedahkan terdapat sedikit potongan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) namun menegaskan ia tidak menjejaskan keseluruhan jalan cerita.

Pelakon berpengalaman, Azhan Rani, pula melihat Paraxnormal sebagai hiburan ringan yang sesuai untuk tontonan keluarga.

“Ini bukan karya berat, cuma sebuah filem popcorn untuk hiburan. Saya lega bila penonton ketawa ketika pratonton kerana itu tanda sasaran kami tercapai. Sudah lama pawagam kita kurang filem komedi sebegini. Harapnya filem ini mampu tarik penonton datang beramai-ramai,” ujarnya.

Paraxnormal mengisahkan empat sahabat Yasin, Asri, Fateh dan Anas yang bersatu semula selepas 30 tahun. Pertemuan itu membawa kepada rancangan berbahaya: merompak sebuah vila lama yang dikatakan berhantu. Namun, apa yang menanti mereka jauh lebih menakutkan daripada sekadar hantu.

Filem ini dibintangi barisan pelakon popular dan pelapis baharu seperti Joey Daud (Yasin), Azhan Rani (Asri), Epy Kodiang (Fateh), Amir Nafis (Anas), serta turut disokong oleh Ellie Suriaty Omar dan Kamarool Haji Yusoff.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan ParaXnormal di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025.

Komen
Loading...