Temerloh : Pas menafikan pihaknya termasuk ahli parti itu ada kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), kata Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau turut mendakwa ada laporan media antarabangsa yang mengaitkan Pas ada kaitan dengan syarikat kontroversi itu namun menegaskan bahawa laporan itu tidak betul.
“(Pas) Tak ada hubungan dengan kita langsung walaupun beberapa media antarabangsa mengaitkan (PAS ada kaitan dengan GISBH), itu satu berita yang tidak betul dan salah.
Ditanya pendirian Pas mengenai dakwaan GISBH menyeleweng agama untuk mengeksploitasi kanak-kanak dan perniagaan, Abdul Hadi berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Untuk memastikan tidak timbul isu eksploitasi dalam sistem pendidikan Pas seperti di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), beliau berkata keadaan masih terkawal kerana terdapat jawatankuasa yang memantau institusi pendidikan itu.
“Dalam Pas insya-Allah kita terkawal. Kita ada lajnah, jawatankuasa untuk mengawal, pentadbiran kita sendiri. Dengan pihak lain kita tidak hubungan,” katanya.
Beliau juga mengesahkan sistem pendidikan kelolaan Pas dilakukan sendiri tanpa ada ‘hubungan’ dengan pihak luar lain.