Pelancaran Olympus oleh DFINITY Foundation, Platform Pemecut Global Tak Terpusat pada Komputer Internet
- oleh Samad Mohd
- 8 bulan lalu
ZURICH – DFINITY Foundation (DFINITY), sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan bukan untuk keuntungan di Switzerland dan penyumbang utama pada Blok Rantai Komputer Internet (ICP), hari ini mengumumkan pelancaran Platform Pecutan Olympus, suatu platform pecutan global dalam blok rantai tak terpusat (decentralization) yang pertama di web3.
Olympus menyokong pembangunan dan penggunaan teknologi web3 merentasi pelbagai ekosistem. Platform pemecut ini merupakan platform rintis seumpamanya yang akan digunakan oleh pasukan di seluruh dunia untuk mengatur dan melancarkan program pemecut tersendiri.
Operasi awal Olympus akan dibiayai melalui dana $20 juta sedia ada yang diperuntukkan untuk ICP Asia Alliance, yang bertujuan untuk memupuk ekosistem Web3 dan AI yang dinamik di Asia. Pada masa akan datang, peruntukan dana baharu bakal diwujudkan melalui pelancaran perjanjian antara EU, mena, Afrika dan Amerika sebagaimana yang dicadangkan untuk memperkukuh jangkauan global ICP.
Menjelang akhir tahun 2024, platform ini akan beralih pada organisasi autonomi tak terpusat (DAO). Untuk memastikan kelestarian platform dan kebebasan daripada geran, kohort masa depan akan dibiayai melalui acara penjanaan token (TGE) asli, disusuli dengan pengumpulan dana daripada komuniti. Hal ini juga dapat memastikan semua pihak berkepentingan memperoleh manfaat daripada kejayaan platform sebagai pemegang token.
Direka khusus untuk kitaran baharu pelancaran produk web3, Olympus menyediakan platform yang disatukan bagi pemecutan projek yang terbuka dan mampan dengan menyediakan akses kepada geran, pendanaan awam (crowdfunding), pelaburan VC, dan rujukan di suatu tempat dan dalam blok rantai. Platform ini beroperasi sebagai talian paip (pipeline) ekosistem, menyalurkan selain daripada menjaga dan menguruskan projek terbaik dari 40+ negara di seluruh dunia.
Pengendali projek boleh memohon untuk menyertai suatu rangkaian teragih (distributed network) pemecut syarikat pemula (startup), mengumpul dana, mengakses bakat, dan berinteraksi merentasi komuniti dan ekosistem, sementara pelabur di platform boleh meningkatkan keterlihatan masing-masing dan mendapat akses awal kepada tawaran yang ditapis dengan telus sepenuhnya secara global.
Dominic Williams, Pengasas dan Ketua Saintis DFINITY Foundation, mengulas “Platform Pemecut Olympus menggalakkan proses nyahpusat, inovasi dan keusahawanan, sebab itulah kami semua tidak sabar untuk menyaksikan perkembangan penjanaan projek akan datang di Komputer Internet dan ekosistem lain melalui Olympus.
“Dengan mewujudkan platform global berasaskan web3 untuk setiap lapisan masyarakat, kami dapat menyatukan bakat, projek, pelabur, dan mentor terbaik untuk mewujudkan pasaran yang boleh dipercayai dan tanpa perantara dengan menawarkan peluang dan akses yang setara kepada semua projek yang layak.
“Program pemecut terdahulu memerlukan kebenaran dan beroperasi secara silo, namun banyak juga yang tidak mampan dan bergantung pada geran. Olympus merupakan suatu model baharu, itulah sebabnya saya sangat teruja untuk terlibat sama sebagai mentor dan berkongsi pengalaman dengan generasi pengasas yang bakal menjadi pelapis”.
Tidak seperti program pemecut sedia ada yang bekerja secara berasingan (silo) dan memerlukan kebenaran untuk berinteraksi, Olympus menggunakan model Pegangan Terbuka (Open Stake) iati projek, mentor dan pelabur boleh berinteraksi secara bebas, sekaligus melancarkan keterangkuman ekosistem tanpa kebenaran dengan integrasi tanpa had. Dengan menggunakan infrastruktur pelbagai rantaian, projek-projek juga boleh meneroka modal dan pengguna pada skala besar melalui pendanaan awam awal.
Olympus juga bakal membenarkan pengesahan dalam blok rantai metrik pertumbuhan projek utama, dengan pengesahan selanjutnya disediakan melalui gelung penarafan berterusan tanpa perantara platform yang membolehkan ahli komuniti, pelabur, mentor, dan pengguna menilai projek dan memberikan testimoni. Infrastruktur berbilang rantaian dan pengesahan dalam blok rantai sedemikian dikuasakan secara unik melalui teknologi Protokol Komputer Internet.
Pelancaran platform ini diterajui oleh beberapa rakan kongsi dan penyokong, termasuk Web3Labs, suatu pemecut inkubasi rantai blok dan syarikat pelaburan berpangkalan di Hong Kong yang komited untuk meneroka, melabur, dan mendayaupayakan projek terbaik dan pasukan inovatif di web3. DFINITY dan Web3Labs baru-baru ini mengumumkan perkongsian strategik untuk memupuk dan menggalakkan inovasi rantai blok di seluruh Asia dengan Web3Labs menyertai ICP Asia Alliance yang ditubuhkan pada tahun lepas. Kumpulan pertama pelbagai program pemecut syarikat pemula di web3 dijangka bakal dikendalikan oleh Hab ICP serta rakan kongsi seperti Web3Labs melalui platform ini.
Selain itu, platform ini turut disertai oleh pelabur modal teroka yang akan menjadi Mentor dalam kohort program pemecut ini dan mendapat akses kepada aliran urus niaga. Pelabur ini juga turut menerajui pelaburan di dana VC, terdiri daripada Fenbushi Capital, Fundamental Labs, Softbank Vision Fund, NewTribe Capital, Cypher Capital, Bitcoin Frontier Fund, Summer Ventures, L2IV, Dext Force Ventures, Leadblock Partners, melalui BTC Capital, Cipholio Ventures, Chiron Group, 3X Capital, Plutus. VC, dan lain-lain.
Pengasas dan pemaju yang berhasrat untuk menyertai Olympus boleh menghantar butiran projek masing-masing ke platform ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut sila layari www.internetcomputer.org.
Mengenai DFINITY Foundation: DFINITY Foundation ialah sebuah organisasi bukan untung yang terdiri daripada ahli kriptografi, saintis komputer dan pakar dalam pengkomputeran teragih terkemuka. DFINITY Foundation kini memiliki operasi R&D terbesar dalam industri blok rantai dengan kebanyakan kakitangannya pernah berkhidmat di IBM Research dan Google. Kakitangan DFINITY Foundation ini telah berjaya menerbitkan sebanyak 1600++ kertas kerja dan 250+ paten. Yayasan ini beribu pejabat di Zurich, dengan pusat penyelidikan bertapak di San Francisco. Dengan misi untuk mengubah pengkomputeran awan ke arah keadaan tak terpusat sepenuhnya, Yayasan ini memanfaatkan pengalamannya dalam penciptaan Komputer Internet yang kini beroperasi sebagai penyumbang utama pada rangkaian.