Pemimpin Korup Punca Kemiskinan Terus Membelenggu Negara – Anwar Ibrahim
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
TANJUNG MALIM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sumbangan kepada negara tidak boleh dijadikan alasan untuk bekas pemimpin mengaut kekayaan secara tidak sah atau mengelak daripada tindakan undang-undang.
Perdana Menteri berkata, amalan rasuah oleh pemimpin terdahulu dalam pentadbiran negara telah menyebabkan masalah kemiskinan terus menekan rakyat. Situasi ini berterusan walaupun beberapa kali berlaku perubahan dalam kerajaan.
Tanpa menyebut mana-mana individu secara khusus, beliau mencabar bekas pejuang Melayu yang terlibat agar mengembalikan harta negara yang disimpan di luar negara untuk kegunaan rakyat.
“Kita harus bersikap tegas. Tidak kira sama ada pemimpin dulu atau sekarang, siapa sahaja yang mengaut kekayaan berbilion ringgit, tindakan undang-undang mesti diambil,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian
Anwar juga mengkritik alasan politik yang sering diberikan untuk mempertahankan pemimpin korup atas dasar ‘jasa’ mereka. Menurut beliau, semua orang berjasa termasuk ketua kampung dan penghulu, namun itu tidak bermakna mereka berhak mencuri dana awam.
“Jika benar ada pemimpin Melayu yang merompak harta negara dan menyimpan kekayaan di Malaysia, Amerika Syarikat, atau di Eropah, sebagai seorang pejuang Melayu, serahkan kembali wang yang dicuri kepada rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar 100 Tahun Za’ba Pemikir Kemiskinan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.