Pengasas FashionValet Ambil Tanggungjawab Atas Kegagalan Pelaburan
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Pengasas FashionValet, Fadza Anuar dan Vivy Yusof, tampil mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pelaburan syarikat fesyen dalam talian itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara peribadi, mereka mengakui kekurangan dalam perancangan dan pendekatan yang agresif dalam mengembangkan perniagaan sebagai punca utama yang membawa kepada situasi sukar ini.
“Kami kecewa dengan diri sendiri dan amat kesal ia berakhir sebegini. Kami benar-benar mohon maaf,” ujar mereka dalam kenyataan tersebut. Mereka menjelaskan bahawa kesilapan terbesar adalah membesarkan syarikat terlalu cepat tanpa persediaan mencukupi untuk menghadapi cabaran yang mungkin timbul.
Fadza dan Vivy turut menyatakan bahawa pelaburan besar dalam teknologi syarikat, pertambahan kakitangan, dan pembukaan banyak kedai fizikal telah meletakkan mereka dalam situasi terdedah, terutamanya apabila pandemik melanda. Walaupun pelbagai langkah penjimatan diambil, termasuk menutup platform e-dagang mereka, keadaan tetap tidak dapat dikawal.
“Kami menyesal tidak mempertimbangkan lebih banyak faktor sebelum memulakan rancangan pengembangan. Kami juga terus menunjukkan wajah positif kepada dunia, dengan harapan naif bahawa keyakinan ini akan memberi kesan positif kepada jenama dan produk kami,” kata mereka lagi.
Selain itu, mereka turut menyatakan kekesalan terhadap kontroversi yang memberi kesan kepada Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Kedua-dua syarikat pelaburan tersebut, kata mereka, sentiasa bertindak profesional dan mementingkan kepentingan organisasi masing-masing. Mereka berharap agar kejadian ini tidak menghalang Khazanah dan PNB daripada terus menyokong usahawan tempatan lain.
Akhir sekali, Fadza dan Vivy mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan mereka dalam syarikat sebagai langkah untuk mengurangkan kesan isu-isu berbangkit terhadap FashionValet, yang kini berada dalam fasa pemulihan.
FashionValet telah melalui pelbagai cabaran sejak pandemik, dan pengumuman ini menandakan era baharu bagi syarikat fesyen tempatan itu.