Ikuti Kami:

Penggunaan MyDigital ID untuk MyJPJ Ditangguhkan

Penggunaan MyDigital ID untuk MyJPJ Ditangguhkan

PUTRAJAYA: Bermula 10 Oktober ini, orang ramai tidak lagi perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk ke aplikasi MyJPJ, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Memetik dari Bernama, Loke menjelaskan bahawa pengguna aplikasi MyJPJ masih boleh mendaftar masuk seperti biasa tanpa sebarang perubahan.

“Tiada keperluan untuk bimbang. MyJPJ akan terus boleh diakses dengan mudah selepas 10 Oktober. Tidak ada isu yang mengatakan pengguna tidak boleh menggunakan MyJPJ selepas tarikh itu,” katanya.

Sebelum ini, laporan media menyebut bahawa pengguna MyJPJ perlu menggunakan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi tersebut mulai 10 Oktober.

MyDigital ID merupakan sistem pengenalan diri secara digital yang akan digunakan oleh sektor awam dan swasta untuk pengesahan identiti semasa melakukan transaksi dalam talian.

Loke menjelaskan, arahan mengenai penggunaan MyDigital ID dalam MyJPJ adalah hasil pengumuman tetingkap timbul (‘pop-up’) dalam aplikasi tersebut, yang bukan berasal dari pengumuman rasmi Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pengumuman melalui ‘pop-up’ tersebut telah memberi maklumat yang mungkin mengelirukan orang ramai. Saya perasan banyak komen di media sosial yang menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu,” jelasnya, sambil menambah bahawa MyJPJ kini mempunyai 10.5 juta pengguna.

Menurutnya lagi, Kementerian menyokong pelaksanaan MyDigital ID, tetapi proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dilakukan di peringkat ‘back-end’.

Loke turut menjelaskan bahawa mereka telah bersetuju untuk memudahkan integrasi MyDigital ID sebagai kaedah log masuk ke MyJPJ, walaupun proses ini akan mengambil sedikit masa dan dilaksanakan tanpa menjejaskan pengalaman pengguna.

Komen
Loading...