Pentas Barbarik Vol 2: 5,000 ‘Rejim Barbarik’ Terpukau
- oleh Gerbang Daily
- 1 Feb 2026 11:42 pm
Kira-kira 5,000 peminat muzik rock tegar Barbarik yang digelar ‘Rejim Barbarik’ terpukau dengan kehebatan persembahan kumpulan Barbarik menerusi konsert Pentas Barbarik Vol. 2 yang berlangsung di Mega Star Arena, di sini, malam semalam.
Konsert berskala besar itu bukan sahaja membuktikan pengaruh Muss (vokal) dan Jobranko (gitar) yang masih ampuh, malah menjadi manifestasi kualiti pemuzik legenda tanah air dalam mengekalkan momentum muzik keras sehingga kini.
Kelainan Teknikal ‘3 Dram, 2 Bass’
Dianjurkan susulan sambutan hangat edisi pertama di Odeon KL pada Disember tahun lalu, penganjuran kali ini tampil dengan kelainan teknikal luar biasa.

Lagu pembukaan, Golok Kayu, menyaksikan eksperimen berani dengan gabungan tiga set dram dan dua pemain bass secara serentak, yang jarang dipamerkan dalam mana-mana konsert rock tempatan.
Kehangatan suasana bertambah ‘bingit’ dengan kemunculan ikon gitar, Karl Cromok, yang tampil melakukan kolaborasi khas, sekali gus memberikan nuansa metal yang cukup teknikal dan bertenaga.
Barbarik yang turut dianggotai oleh Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) tidak ketinggalan membawa peminat menyusuri arus nostalgia dengan menjemput barisan bekas anggota kumpulan Wings.
Kehadiran Black, Eddie, Mel, dan Jojet di atas pentas nyata mengubati rindu peminat, terutamanya menerusi penyampaian lagu-lagu berhantu seperti Lena Diulit Intan dan Ranjang Mawar.

Dalam pada itu, Jobranko turut mencuri tumpuan apabila mempamerkan skil petikan gitarnya menggunakan instrumen terbaharu hasil kerjasama eksklusif bersama jenama antarabangsa, Gibson.
Sepanjang durasi konsert, Barbarik menyajikan senarai lagu rare yang menjadi idaman peminat antaranya Delilah, Enigma, Mayang Kulit, Penunggu, dan Krisis Dipertengahan Hidup.
Lagu-lagu popular lain seperti Peluru Cokelat, Didakap Pesona, Kasmaran, dan Keris Tak Bersarung turut dinyanyikan bersama oleh ribuan penonton yang hadir.
Kejayaan Pentas Barbarik Vol. 2 ini meletakkan satu lagi penanda aras tinggi dalam industri hiburan tempatan, membuktikan bahawa muzik rock masih mempunyai kedudukan istimewa di hati rakyat Malaysia.




