Selepas mencetuskan fenomena dan ‘kekecewaan’ luar jangka pada siri pertama di Odeon KL baru-baru ini, kumpulan Barbarik tekad untuk ‘tebus’ semula sokongan padu peminat menerusi penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, 31 Januari depan.
Penganjuran siri kedua ini dilihat sebagai langkah proaktif kumpulan itu bersama penganjur, Republic Mokhmah Records (RMR) dan Pentas Barbarik Sdn Bhd, bagi mengubati hati ratusan peminat yang gagal menyaksikan persembahan mereka sebelum ini akibat ruang lokasi yang terhad.
Pengasas kumpulan Barbarik, JoBranko berkata, pihaknya memandang serius insiden yang berlaku pada 12 Disember lalu dan menyifatkan Pentas Barbarik Vol 2 sebagai platform untuk membuktikan profesionalisme mereka dalam menjaga hubungan dengan peminat.

“Pentas Barbarik Vol 2 bukan sekadar mahu menutup kekecohan lalu, tetapi ia adalah tanda kesungguhan kami dalam memenuhi permintaan peminat yang mahukan persembahan berskala lebih besar dan berkualiti.
“Kami mahu setiap persembahan memberi pengalaman berbeza. Justeru, bagi siri kali ini, kami menjanjikan 30 peratus kelainan dari segi repertoir dan pemilihan lagu berbanding konsert terdahulu,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan The Heritage Club, Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur.
Sementara itu, wakil RMR, Encik Abdul Musa Haji Mokhtar menegaskan pihaknya akan memastikan aspek pengurusan tiket kali ini dikendalikan dengan lebih teliti bagi mengelakkan sebarang isu teknikal atau manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami akan sedaya upaya mengelak daripada terlibat dengan penjualan tiket tidak sah yang boleh menjejaskan reputasi penganjur dan kumpulan Barbarik sendiri,” tegasnya.
Lebih menarik, konsert yang dijangka berlangsung selama dua jam 30 minit itu bakal menampilkan pemain gitar Karl (Cromok) bagi menghangatkan lagi ‘pertempuran’ di atas pentas.
Kehadiran Karl melengkapkan barisan pemuzik berpengalaman lain seperti Ainoll, Rozaimi Muss, JoBranko, dan Lee, selain penampilan khas Eddie, Black, Mel, dan Jojet.
Harga tiket ditawarkan bermula dari RM138 (General Admission), RM168 (Rockzone-standing), RM268 (Normal-seating), RM368 (VIP-seating) sehingga RM1,500 untuk Grand VIP-Couple Seat.
Tiket bagi Pentas Barbarik Vol 2 akan mula dijual pada 18 Disember, jam 12 tengah hari melalui platform www.iLassoTickets.com/pentasbarbarikvol2.




