Ikuti Kami:

Penyelia Rugi RM106,400 Ditipu Selepas Pajak Barang Kemas

Penyelia Rugi RM106,400 Ditipu Selepas Pajak Barang Kemas

MUAR: Wang tunai berjumlah RM106,400 hasil pajakan barang kemas milik seorang wanita lesap akibat diperdaya lima individu termasuk menyamar sebagai kakitangan syarikat platform perdagangan dalam talian, Isnin lalu.

Kejadian bermula apabila mangsa yang juga penyelia kedai berusia 27 tahun menerima panggilan daripada individu pertama yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan syarikat terbabit, pada jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata individu terbabit meminta mangsa membuat laporan polis kerana didakwa menjual produk kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada beberapa individu berbeza yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Pengadu diberitahu suspek, dia mempunyai satu waran tangkap kerana terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram serta kes dadah.

“Disebabkan terlalu takut, pengadu memberikan maklumat peribadi seperti diminta dan suspek turut meminta wanita itu memajak barang kemas yang ada dalam simpanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Raiz Mukhliz lagi, pengadu kemudian ke tiga kedai pajak gadai di sekitar daerah ini untuk berbuat demikian dengan wang terbabit dimasukkan ke dalam empat akaun berbeza yang keseluruhannya RM106,400.

Beliau berkata, selepas mengikuti arahan itu, suspek meminta pengadu membuat pembayaran lagi namun dia berasa pelik serta mula menyedari sudah ditipu.

“Susulan itu, pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 30 Ogos lalu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber
BHarian
Komen
Loading...