Permohonan Muhyiddin Mendapatkan Pasport Sementara untuk Ke Luar Negara Ditolak
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menolak permohonan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara sementara.
Keputusan ini dibuat oleh Hakim Azura Alwi yang berpendapat bahawa alasan yang diberikan oleh Muhyiddin tidak mencukupi untuk membenarkan pelepasan pasport tersebut.
Menurut Azura, walaupun permohonan itu ditolak, Muhyiddin tidak dihalang daripada menjalani kehidupan harian dan melaksanakan tanggungjawabnya.
“Pemohon masih boleh bercuti atau meraikan acara-acara peribadi, cuma bukan di luar negara,” ujarnya semasa memberi keputusan.
Muhyiddin dalam afidavitnya menjelaskan bahawa beliau memohon pasport tersebut bagi melakukan perjalanan singkat bersama isterinya ke Uzbekistan selama lapan hari, bermula 4 hingga 14 Oktober.
Perjalanan ini dirancang sebagai rehat daripada tekanan yang dialami dalam beberapa bulan terakhir. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat membantah permohonan itu dengan menyatakan bahawa alasan diberikan adalah tidak relevan dan tidak munasabah.
Noralis menambah bahawa pemohon telah menggunakan alasan tekanan mental dan keletihan untuk bercuti di luar negara, sedangkan sambutan percutian atau ulang tahun boleh dilakukan di dalam negara.
Tambahan lagi, kesalahan yang dihadapi Muhyiddin adalah kesalahan serius yang tidak boleh dijamin.
Muhyiddin kini berdepan beberapa pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah wang yang besar semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
Pertuduhan tersebut berkaitan dengan suapan yang melibatkan Projek Jana Wibawa serta beberapa syarikat tempatan. Kes-kes ini dijangka akan diteruskan di Mahkamah Sesyen dalam masa terdekat.