Ikuti Kami:

PKIPN Gesa Pihak Berkuasa Bertindak Terhadap Individu Cetus Provokasi Kaum, Agama

PKIPN Gesa Pihak Berkuasa Bertindak Terhadap Individu Cetus Provokasi Kaum, Agama

Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didakwa sengaja mencetuskan provokasi berkaitan isu kaum dan agama bagi mengelakkan ketegangan dalam masyarakat.

Presidennya, Joseph berkata, tindakan segelintir pihak yang membangkitkan isu sensitif termasuk pertikaian membabitkan rumah ibadat dilihat sebagai cubaan untuk memecahbelahkan keharmonian yang telah lama terjalin di negara ini.

Beliau menamakan dua individu, Logan Anadatai Ghazali dan Sambri Winon, yang didakwa mempunyai kaitan kekeluargaan, sebagai antara pihak yang terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalaman masyarakat serta menyebarkan kenyataan yang mempersoalkan pengurusan rumah ibadat oleh pihak terdahulu.

“Kita tidak mahu ada mana-mana pihak mengambil tindakan sendiri tanpa kuasa yang sah. Isu berkaitan rumah ibadat atau status tanah perlu diselesaikan mengikut saluran undang-undang dan prosedur rasmi, bukannya melalui provokasi individu yang mempunyai agenda tertentu,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Joseph turut mendakwa salah seorang daripada individu berkenaan mempunyai rekod kes jenayah lampau yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan awam tidak terancam.

Dalam perkembangan berkaitan, Joseph memaklumkan pihaknya akan menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Putrajaya pada Jumaat hadapan bagi memohon campur tangan pihak berkuasa agama dalam meredakan ketegangan tersebut.

“Tujuan kita ke JAKIM adalah untuk meminta bimbingan dan memastikan sebarang konflik diselesaikan secara profesional. Kita mahu rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum terus bersatu tanpa dipengaruhi maklumat salah yang tular di media sosial,” tambahnya.

Selain isu perkauman, sidang media itu turut mengetengahkan dakwaan kes penipuan kewangan (scammer) melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit yang didakwa dilakukan oleh individu yang sama, serta isu kelewatan pengeluaran borang laporan polis oleh pegawai penyiasat dalam kes penipuan jam tangan mewah.

Sehubungan itu, PKIPN menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneliti setiap aduan yang dikemukakan demi memelihara ketenteraman awam dan melindungi rakyat daripada menjadi mangsa manipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Komen
Loading...