PM Mahu Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan AI Siap Kurang 12 Bulan
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
KUALA LUMPUR – Malaysia menetapkan sasaran untuk menyiapkan Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam tempoh 12 bulan akan datang, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan bahawa ini adalah salah satu dapatan utama berkaitan teknologi yang disasarkan dalam tempoh tersebut, dan berharap sasaran ini dapat dicapai lebih awal.
“Apabila saya kata 12 bulan, ia cadangan menteri, bagi saya tiada sebab untuk tunggu 12 bulan, sepatutnya enam bulan boleh siap,” katanya ketika berucap pada majlis Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event di sini pada Selasa.
Memetik Bernama, Anwar menekankan bahawa kerajaan juga akan mempercepatkan penggunaan teknologi AI di dalam sektor-sektor utama di seluruh Malaysia.
Beliau menyatakan bahawa penerimaan teknologi ini membolehkan agensi-agensi kerajaan untuk mengoptimumkan proses, mengurangkan kos, dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Contoh ketara ialah penciptaan platform DELIMa oleh Kementerian Pendidikan melalui teknologi awan Google. Saya telah melihatnya, ia sangat mengagumkan dan memberi sumbangan besar dalam meningkatkan standard pendidikan serta mengubah pengalaman pendidikan.
“Saya gembira untuk menyatakan bahawa 5.5 juta pelajar dan guru di Malaysia hari ini menggunakan platform DELIMa. Usaha ini wajar dicontohi oleh seluruh jentera kerajaan, di mana sesuai, saya akan membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Kabinet esok (Rabu),” katanya.
Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, dan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.