Ikuti Kami:

Polis Siasat Pemberi Dana Rumah Amal Dikaitkan GISBH, Nafi Halang Kanak-Kanak Solat

Polis Siasat Pemberi Dana Rumah Amal Dikaitkan GISBH, Nafi Halang Kanak-Kanak Solat

KUALA LUMPUR: Tan Sri Razarudin Husain menegaskan dana disumbangkan kepada 20 pusat jagaan dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) adalah antara skop siasatan dilakukan pihak berkuasa.

Bagi tujuan itu, Ketua Polis Negara berkata, pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram (AMLA) Bukit Aman sudah digerakkan bagi mengenal pasti setiap rekod transaksi berkaitan.

Beliau berkata, selain elemen pemerdagangan manusia, siasatan berkenaan menjurus kepada dana berkaitan rumah amal terbabit dan perniagaan lain sekiranya diperlukan.

“Kita percaya pusat jagaan ini mempunyai penaja lain, selain GISBH. Ada juga rumah orang tua yang menerima dana daripada GISBH dan sumber lain juga,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Razarudin menafikan dakwaan pihak polis tidak membenarkan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal berkenaan daripada menunaikan solat.

“Mereka dibenarkan solat secara bergilir-gilir di bawah pengawasan polis demi keselamatan.

“Mengarut kalau dakwa kita tidak benarkan mereka solat, malah mereka ditempatkan di sini (Pusat Latihan Polis), yang mempunyai (kemudahan) masjid,” katanya.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama iaitu 18 di sekitar Selangor dan dua di Negeri Sembilan.

Sumber
Komen
Loading...