Polis Siasat Perhimpunan Kibar Jalur Gemilang di Teluk Intan, Tiada Notis Diterima dari Penganjur
- oleh Samad Mohd
- 2 bulan lalu
Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, yang dihadiri lebih 300 individu tanpa kelulusan notis rasmi.
Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan dihadiri pimpinan PAS Perak serta penduduk setempat.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, siasatan dijalankan selepas mendapati penganjur gagal menghantar notis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum acara berlangsung, seperti yang diwajibkan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Azizi menyatakan bahawa pihak polis akan memohon Arahan Perintah untuk Menyiasat (OTI) bagi menjalankan proses lanjut.
“Semua pihak yang terbabit akan dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan,” jelas Azizi.
Difahamkan, acara mengibarkan lebih 200 Jalur Gemilang ini bertujuan sebagai tindak balas terhadap insiden bendera China dikibarkan di lokasi yang sama sempena Sambutan Guan Gong Sedunia baru-baru ini.
Pihak polis turut mengingatkan orang ramai agar mengelak daripada menyertai perhimpunan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Sekiranya sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.