Polis Tahan Lima Warga Bangladesh Dalang Palsukan Surat Saringan COVID-19
- oleh Samad Mohd
- 5 tahuns lalu
Polis menahan lima lagi lelaki Bangladesh yang disyaki terlibat dengan kegiatan memalsukan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 di Jalan Tengkat Tong Shin, di sini, Selasa, kira-kira empat hari selepas dua lelaki juga dari Bangladesh ditahan atas kesalahan yang sama dalam serbuan di Jalan Alor di sini minggu lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata suspek berumur di antara 26-30 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di ibu negara itu ditahan pada pukul 11 malam, dan polis turut merampas antaranya lima telefon bimbit serta satu salinan surat saringan COVID-19.
Artikel Berkaitan
Beliau turut mengesahkan polis menerima tiga lagi laporan berhubung pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 pada Selasa dan Rabu lepas, yang menyatakan pihak hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur menerima panggilan serta emel daripada majikan yang ingin mendapatkan pengesahan laporan keputusan ujian saringan COVID-19.
“Setelah semakan dibuat, pihak hospital dan makmal itu mendapati nama pesakit yang dinyatakan dalam laporan itu tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital atau makmal berkenaan. Malah doktor yang membuat saringan tidak bertugas di hospital dan makmal seperti dalam laporan keputusan ujian saringan COVID-19 itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau seterusnya menasihatkan majikan supaya sentiasa membuat semakan keputusan ujian yang diserahkan oleh pekerja, dengan pihak pengeluar laporan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pemalsuan laporan itu boleh membantu pihak berkuasa dengan menelefon Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.