PRK KKB: Masyarakat India dinasihat pilih calon mampu jamin kesejahteraan
- oleh Samad Mohd
- 8 bulan lalu
HULU SELANGOR, — Masyarakat India dinasihatkan supaya memilih calon yang mampu memberikan kesejahteraan kepada mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), 11 Mei ini.
Pemangku Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP) Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata komuniti itu juga harus berfikir jauh dan tidak mudah terperdaya dengan hasutan pihak tertentu yang meminta mereka memboikot PRK berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Santai Bersama Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao, di sini malam ini.
Berbaki empat hari lagi kempen sebelum hari pengundian, Loga berharap komuniti itu dapat membuat pertimbangan yang matang serta keputusan yang bijak demi masa depan mereka.
PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
— BERNAMA