Program Ambil Peduli: Inisiatif Holistik Surau Al-Amirin Bantu Asnaf, Sampaikan Ilmu
- oleh Gerbang Daily
- 13 Mar 2026 1:18 pm
Surau Al-Amirin di sini mengambil pendekatan holistik dalam menyemarakkan bulan Ramadan menerusi penganjuran Program Ambil Peduli dan Pengagihan Bubur Lambuk yang menggabungkan elemen kebajikan, kesukarelawanan, dan pengisian rohani.
Program yang diadakan sempena sambutan Nuzul Quran itu bukan sekadar meneruskan tradisi agihan makanan, malah turut menyaksikan penyaluran sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM75,000 bagi memperkasa institusi pendidikan dan pengurusan surau.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Orang Besar Daerah Hulu Langat, Y.D.H. Dato’ Haji Rosli Bin Othman, serta Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato’ Haji Mohd Jusni Bin Hasim.
Kemuncak majlis menyaksikan Pengerusi Surau Al-Amirin, Dato’ Abdul Rashid Bin Mohd Ghani, menyerahkan wakalah zakat perniagaan beliau.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM50,000 disalurkan kepada Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin, manakala RM25,000 lagi diperuntukkan kepada tabung Surau Al-Amirin bagi tujuan pengurusan dan aktiviti kariah.
Dato’ Haji Rosli dalam ucapannya memuji komitmen pihak surau yang berjaya menggerakkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk setempat.
“Program seperti ini mencerminkan kekuatan semangat kebersamaan yang menjadi teras keharmonian di daerah ini. Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, malah waktu terbaik untuk memperkukuh silaturahim dan menyemai nilai keprihatinan terhadap golongan memerlukan,” katanya.
Terdahulu, seawal pagi lagi, jawatankuasa surau bersama ahli kariah telah bergotong-royong menyediakan 500 pek bubur lambuk untuk diagihkan kepada penduduk sekitar, golongan asnaf, dan orang ramai.
Selain bubur lambuk, pihak surau turut menyampaikan sumbangan barangan dapur dan duit raya kepada penerima yang layak sebagai tanda sokongan moral dan bantuan bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Bagi mengisi tuntutan rohani sempena Nuzul Quran, para jemaah turut dihidangkan dengan ceramah khas sebelum waktu berbuka puasa yang disampaikan oleh pendakwah terkenal, Dato’ Prof. Dr. Haji Mohd Farid Ravi Abdullah.
Ceramah bertajuk “Amalan dan Penghayatan Al-Quran – Mukjizat untuk Masyarakat” itu menekankan kepentingan menjadikan kitab suci itu sebagai panduan kehidupan yang syumul dalam mendepani cabaran semasa.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Hulu Langat serta wakil-wakil agensi tempatan, yang rata-ratanya menyifatkan inisiatif Surau Al-Amirin ini sebagai platform terbaik dalam menyuburkan nilai ihsan dan tanggungjawab sosial dalam komuniti bandar.




