Program MADANI Sarawak Tawar 50 Aktiviti Menarik, Diskaun Saman
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
Persiapan jelajah Program MADANI Rakyat Zon Sarawak sudah memasuki fasa akhir dengan sasaran sekitar 100,000 pengunjung dijangka membanjiri Miri.
Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa, Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Mohd Faizal Harun menyatakan lebih 50 aktiviti dan perkhidmatan akan disediakan untuk rakyat negeri itu.
“Kami menawarkan pelbagai aktiviti seperti e-sukan, larian, wall climbing, pemeriksaan kesihatan, pergigian, serta perkhidmatan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk diskaun saman 50%,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini pagi tadi.
Program MADANI Rakyat Zon Sarawak yang merupakan kerjasama antara kerajaan pusat dan PETRA akan berlangsung dari 27 hingga 29 September di Boulevard Shopping Mall, Miri, Sarawak.
Bagi memudahkan perjalanan para pengunjung ke lokasi, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) akan menyediakan perkhidmatan bas pengangkutan secara percuma pada pada 27 dan 28 September 2024 (Jumaat dan Sabtu), bermula pada pukul 8:00 pagi hingga 12:00 tengah malam dan 29 September 2024 (Ahad) bermula pada pukul 8:00 pagi hingga 8:00 malam.