Ratusan Buku Ajaran GISBH Ditanam Dan Dibakar Selepas CEO Ditahan Polis
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
Polis merampas pelbagai jenis buku berkaitan ajaran bawaan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang ditanam dan dibakar berhampiran rumah keluarga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH di Panji, di sini hari ini.
Difahamkan, buku-buku itu dipercayai ditanam selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH ditahan oleh pihak polis kelmarin.
Malah, sebahagian buku dilaporkan sudah dibakar, dengan lokasi masih berbau asap, manakala buku-buku yang lebih tebal ditanam bagi mengelak dikesan.
Operasi yang dikenali sebagai Op Global, bermula sekitar jam 7 pagi, turut melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK).
Wartawan yang mengikuti operasi tersebut melaporkan bahawa terdapat lebih 30 penghuni, termasuk 20 kanak-kanak, di tiga buah rumah yang diserbu. Kebanyakan penghuni terdiri daripada ahli keluarga CEO GISBH, termasuk isteri, menantu, dan cucu-cucunya.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa pemimpin kanan GISBH, termasuk CEO dan isterinya, ditahan oleh pihak berkuasa dalam Op Global.
Tindakan itu diambil susulan laporan berkaitan dakwaan penderaan, pengabaian, dan salah laku seksual di rumah amal yang dikendalikan oleh syarikat tersebut.