
Malam penuh tenaga dan euforia tercipta di IdeaLive Arena apabila kira-kira 5,000 peminat ‘bergoyang’ mengikut rentak Caribbean tatkala bintang antarabangsa, Sean Paul, menggegarkan pentas menerusi konsert Sean Paul Live in Malaysia 2025 malam tadi.
Selama lebih dua jam tanpa henti, penyanyi kelahiran Jamaica itu menghadiahkan persembahan penuh bertenaga yang mengubat rindu peminat tempatan selepas tujuh tahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia.
Sejak lagu pembukaan So Fine dan Get Busy berkumandang, penonton terus hanyut dalam rentak rancak dancehall dan reggae-pop yang menjadi identiti Sean Paul.
Arena bergema dengan sorakan, nyanyian bersama dan hentakan kaki yang tidak henti, mencipta suasana seakan pesta Caribbean di tengah-tengah Petaling Jaya.
Rangkaian lagu popular seperti Cheap Thrills, Baby Boy, Bailando, Hot Gyal Today, Infiltrate, Breathe, Give It Up To Me dan Got 2 Luv U membuatkan seluruh arena bergema dengan sorakan peminat yang teruja menyanyi bersama idola mereka.
Momentum terus meningkat apabila Sean Paul mempersembahkan lagu kegemaran ramai seperti Boasty, Come On To Me, I Get High, Gimme Di Light, We Be Burnin’, I’m Still In Love, Rockabye serta lagu terbaharu, Ginger, yang menerima sambutan luar biasa.
Suasana mencapai kemuncaknya apabila Sean Paul menutup malam dengan deretan lagu ikonik seperti Like Glue, Deport Dem, Trumpets, She Doesn’t Mind dan Temperature yang menjadikan seluruh IdeaLive Arena bergoncang dengan sorakan dan tarian penonton.
Kehadiran kira-kira 5,000 penonton daripada pelbagai generasi membuktikan pengaruh besar Sean Paul dalam dunia muzik global masih utuh, dan konsert ini nyata meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.