Ribuan Peminat Gegar Axiata Arena, Konsert CIPTA 3 Jadi Penutup Bersejarah
- oleh Atie
- 2 minggu lalu

Ribuan peminat membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi bagi menyaksikan konsert DATO’ M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock, yang menutup tirai trilogi konsert ikonik maestro muzik tanah air, Dato’ M. Nasir.
Konsert anjuran Icon Entertainment dengan kerjasama strategik bersama Etiqa itu berlangsung penuh meriah selama lebih dua jam, menampilkan persembahan bertenaga daripada penyanyi, komposer dan penulis lirik berusia 67 tahun itu.
M. Nasir membuka pentas dengan rangkaian lagu Isi Atau Kulit, Musnah dan Jerangkung Dalam Almari, sebelum meneruskan momentum dengan Pembakar Perasaan, Opera Hidup serta Apa Lagi.
Sorakan penonton terus memuncak apabila beliau menyampaikan Laila Namamu Teratas, Srikandi Cintaku serta medley Jiwa-Jiwa Luka dan Rupa Tanpa Wajah.
Segmen seterusnya membawakan medley panjang seperti Pertama Dan Selamanya, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Falsafah Cinta, Dibayang Awan, Ukiran Jiwa dan Meniti Titian Usang.
Lagu Di Jalan Sesat, Kau Ratnaku, Hipokrasi serta Aku Dah Bosan membuktikan sisi keras beliau masih berbisa, sementara Cinta Sepi, Saatku Idamkan dan Gemuruh mempamerkan kelenturan vokalnya.
Tidak ketinggalan, nostalgia bersama kumpulan Kembara dihidupkan menerusi Impian Seorang Nelayan, selain medley Perjuangan, Hati Emas, Gerhana dan Duit Duit yang membakar semangat penonton.
Sebagai penutup, Apokalips dan Pawana versi koplo menjadi klimaks konsert, diiringi sorakan panjang yang enggan reda.
Suasana turut dimeriahkan dengan peminat yang hadir berpakaian bertema Rock Cara Lu… Janji Rock, menambah aura pesta rock era 80-an dan 90-an.
Konsert CIPTA 3 menutup perjalanan trilogi selepas kejayaan DATO’ M.N45IR CIPTA dan CIPTA 2 pada tahun 2024 serta edisi khas CIPTA RAYA pada April lalu, sekaligus mencipta satu lagi detik bersejarah dalam karier lebih empat dekad Dato’ M. Nasir.