RichWorks Infaq RM2 Juta, Sedia Iftar Buat 5,000 Individu Sehari Sepanjang Ramadan
- oleh Gerbang Daily
- 7 Mar 2026 10:34 pm
Pertubuhan Kebajikan RichWorks (RichWell) memperuntukkan dana infaq sebanyak RM2 juta bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada kira-kira 5,000 individu setiap hari di pelbagai lokasi sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Inisiatif murni itu menyasarkan golongan asnaf, miskin bandar, gelandangan, pelajar, serta musafir bagi memastikan kumpulan sasar berkenaan mendapat hidangan yang sempurna dan berkualiti tinggi.
Pengasas RichWorks Group Holdings Berhad, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, peruntukan tahun ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya bagi memenuhi keperluan komuniti yang semakin mendesak, terutamanya di sekitar ibu kota.

”Tahun ini kita lipat gandakan sumbangan kepada RM2 juta untuk sebulan. Fokus kita adalah memberi makan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad sahaja, kos harian mencecah RM5,000 ke RM6,000 bagi menyediakan hidangan buat ratusan jemaah,” katanya ketika ditemui pada majlis iftar di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini, hari ini.
Turut hadir memberi sokongan padu ialah usahawan dan selebriti terkenal, Dato’ AC Mizal.
Beliau yang juga merupakan salah seorang anak didik dalam program pementoran perniagaan kendalian Datuk Wira Dr. Azizan, menyifatkan penglibatannya dalam misi CSR ini sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial.
Menurut Dato’ AC Mizal, beliau terpegun melihat kesungguhan pasukan penganjur yang menyediakan hidangan secara ‘buffet’ buat golongan kurang berkemampuan.

”Jujurnya, saya sendiri terkejut melihat kualiti makanan yang disediakan. Kita bukan sekadar bagi makan, tapi kita bagi yang terbaik. Kadangkala orang hanya pandai beri komen di luar sana, tapi mereka tidak tahu ‘real story’ atau kesusahan sebenar yang dialami komuniti di sini.
”Saya sangat gembira dan bersyukur dapat terlibat sama dengan mentor saya. Inilah wajah-wajah dermawan Malaysia yang secara diam-diam membuat sumbangan besar begini. Harapan saya agar usaha ini bukan sahaja membantu perut yang lapar, malah memberi sinar kegembiraan kepada mereka di bulan mulia ini,” ujar Dato’ AC Mizal.
Dalam pada itu, penganjur program, Puan Linda menjelaskan bahawa lokasi Masjid Jamek dipilih kerana keunikannya yang terletak di tengah bandar raya tetapi dikelilingi oleh masyarakat yang sangat daif.

”Di sini ada golongan asnaf, gelandangan, malah ada yang sanggup mencuri makanan orang lain kerana terlalu terdesak. Sebab itu saya ‘fight’ dengan Datuk Wira untuk pastikan kami ‘station’ di sini sekurang-kurangnya 20 hari. Kita tak sampai hati tengok pakcik yang mengadu makanannya diambil orang lain ketika dia bangun,” jelasnya.
Selain tumpuan di Lembah Klang dan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), misi kebajikan RichWell ini turut melangkaui sempadan negara melibatkan bantuan di Indonesia, Yaman, Arab Saudi, Afrika, dan Kemboja yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.




