
Dato’ Sri Rossa sekali lagi membuktikan dirinya sebagai ikon muzik serantau apabila berjaya menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil dengan konsert mega Here I Am yang berlangsung malam tadi.
Ribuan peminat dari pelbagai lapisan umur membanjiri arena bagi menyaksikan aksi bertenaga dan persembahan penuh emosi Rossa yang tersusun kemas dari awal hingga akhir.
Konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Sah Entertainment dan Inspire Production ini turut mendapat sokongan penuh daripada penaja utama Amber dan Usanita, serta Media Prima sebagai rakan media rasmi.
Rossa membuka pentas dengan lagu-lagu popular seperti Tegar, Malam Pertama, Wanita dan Wanita Yang Kau Pilih, yang serta-merta membangkitkan sorakan gemuruh dari penonton.
Menambah keistimewaan konsert, finalis rancangan realiti TV3, Calpis Soda One in a Million (CSOIAM) – Marygrace Jane Penserga, Kai Deva dan Zazzleen Zulkifli Zain turut naik ke pentas bersama Rossa menerusi lagu Takkan Berpaling Darimu, mencipta detik istimewa buat bakat baharu tersebut.
Satu lagi momen mencuri tumpuan ialah duet mashup lagu Masing-Masing oleh Rossa dan Aku Bukan Untukmu yang disampaikan Ernie Zakri. Gabungan dua penyanyi wanita dari generasi berbeza itu menyerlahkan kekuatan vokal mereka.
Segmen penghormatan kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut menjadi sorotan apabila penyanyi nombor satu negara itu hadir sebagai penonton dan secara spontan menyanyikan korus lagu Percayalah bersama Rossa, mencetuskan sorakan luar biasa daripada penonton.
Rossa juga membawakan rangkaian lagu popular lain seperti Kumenunggu, Hati Yang Kau Sakiti, Tak Sanggup Lagi, Ayat-Ayat Cinta, Takdir Cinta, Terlanjur Cinta, Sakura dan Pudar.
Persembahan Rossa turut diiringi oleh UPSI Wind Orchestra dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dianggotai oleh pelajar, pensyarah dan alumni, sekali gus menambahkan seri dan warna pada persembahan malam itu.
Kemunculan penyanyi lelaki terkenal Indonesia, Ariel Noah menerusi lagu Nada-Nada Cinta dan Tegar menerima sorakan hebat peminat.
MK K-Clique pula tampil bergandingan bersama Marygrace dan Zazzleen menyampaikan lagu Mimpi, memperlihatkan gabungan gaya moden dan elemen hip hop yang segar.
Hael Husaini juga tampil memberi warna kepada malam tersebut menerusi lagu Terlalu Cinta dan Meriah Lain Macam bersama Rossa, mempamerkan keserasian vokal yang menghiburkan.
Segmen persembahan DJ Dipha Barus pula menambah elemen moden dan segar menerusi lagu Serasa dan Sakura, serta remix khas Sinaran bersama Rossa dan MK K-Clique yang menggamatkan suasana.
Konsert ditutup dengan lagu Hey Ladies yang disampaikan Rossa bersama The Ladies, menandakan penutup penuh semangat kepada malam luar biasa yang berjaya menyatukan muzik, peminat dan budaya dalam satu arena.