Rosyam Nor Teroka Bisnes Bengkel, SPANA Jadi Talian Hayat ‘Rider’ Tersadai
- oleh Gerbang Daily
- 14 Feb 2026 4:01 pm
Datuk Rosyam Nor menyempurnakan gimik pelancaran dengan menandatangani plak perasmian pusat servis motosikal SPANA yang pertama di Semenyih.
“Bayangkan perasaan seorang penghantar makanan atau pekerja kilang yang motosikalnya pancit atau rosak di tepi jalan pada jam 3 pagi. Siapa yang mahu bantu?”
Persoalan itu menjadi pencetus semangat buat tokoh pelakon dan usahawan berkaliber, Datuk Rosyam Nor, untuk melancarkan pusat servis motosikal SPANA, yang memulakan operasinya secara rasmi di sini, hari ini.
Membawa konsep ‘Rider Jaga Rider’, Rosyam yang juga Pengerusi merangkap Duta SPANA berkata, pembukaan bengkel itu bukan sekadar mengejar keuntungan perniagaan, sebaliknya satu misi memartabatkan maruah golongan penunggang motosikal 250cc ke bawah.
Menurut Rosyam, dengan populasi lebih 16 juta motosikal di Malaysia yang majoritinya dimiliki golongan B40 dan pekerja ekonomi gig, keperluan terhadap pusat servis yang telus dan berkualiti amat mendesak.
“Kami mahu hapuskan stigma bengkel ‘ketuk’ pelanggan. Di SPANA, kita amalkan prinsip ‘Servis Gaya T20, Harga B40’. Pelanggan dapat fasiliti premium dan layanan kelas pertama, tetapi harga tetap mampu milik tanpa kos tersembunyi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran cawangan sulung SPANA di Semenyih.
Turut hadir memberi sokongan ialah rakan kongsi SPANA, Nik Mahmud Nik Wan dan Penasihat SPANA, Datuk Dr Noor Hisham Mohd Noor.

Rosyam Nor (Belakang, 4 dari kiri) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir di pelancaran cawangan pertama bengkel motosikal SPANA di Semenyih hari ini
Antara tarikan utama yang diperkenalkan ialah Pakej Keahlian SPANA pada harga hanya RM100 setahun. Keahlian ini bertindak sebagai ‘talian hayat’ yang menawarkan bantuan baik pulih serta kecemasan 24 jam buat penunggang yang mengalami kesulitan di jalan raya.
“Nilai bantuan yang ikhlas itu hanya akan dirasai apabila kita tersadai sendirian di tengah malam. Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak sendirian. SPANA ada untuk mereka,” jelas Rosyam lagi.
Selain fokus kepada penyelenggaraan, SPANA turut menggalas misi sosial dengan membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada anak muda, khususnya lepasan sijil kemahiran TVET.
Beliau menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan bengkel dalam kalangan generasi muda Melayu agar mereka dapat keluar daripada garis kemiskinan tegar.
Mengulas perancangan masa depan, Rosyam menyasarkan untuk memperluaskan empayar SPANA ke Bangi, Kajang, Cheras dan Shah Alam menjelang tahun 2027.
Sempena pelancaran hari ini, suasana di cawangan Semenyih meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah motosikal Yamaha Y16, pertandingan Video Terpaling Viral dan acara Pocket Bike.




