Ikuti Kami:

Sean Paul ‘Raja’ Dancehall Dunia Kembali Gegar Pentas Malaysia Selepas 7 Tahun

Sean Paul ‘Raja’ Dancehall Dunia Kembali Gegar Pentas Malaysia Selepas 7 Tahun

Penyanyi antarabangsa dan ikon muzik dancehall dunia, Sean Paul, bakal kembali menggegarkan pentas Malaysia selepas tujuh tahun menerusi Konsert Sean Paul Live in Malaysia 2025, yang akan berlangsung pada 10 Oktober ini di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.

Konsert berskala besar itu dianjurkan oleh Epic Elation dengan sokongan daripada Sound Innovations, Spike Productions, dan LFG Entertainment, serta dijangka menjadi antara acara muzik antarabangsa paling dinantikan tahun ini.

Kemunculan semula bintang kelahiran Jamaica berusia 52 tahun itu dijangka mencetus ledakan tenaga apabila beliau mempersembahkan rangkaian lagu popular seperti Get Busy, Temperature, We Be Burnin’ dan No Lie, selain lagu terbaharunya Ginger yang kini tular di pelbagai platform penstriman muzik.

Menurut wakil Epic Elation, penganjuran konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya satu sambutan budaya dan tenaga sejagat yang meraikan warisan irama Caribbean yang dibawa oleh Sean Paul.

“Konsert ini akan menjadi pengalaman yang penuh tenaga dan interaktif, menampilkan gabungan muzik, cahaya dan persembahan visual yang menakjubkan. Kami mahu menghadirkan sebuah malam yang benar-benar menghiburkan dan meninggalkan kenangan luar biasa buat penonton,” katanya.

Sementara itu, Sean Paul turut menzahirkan keterujaannya untuk kembali bertemu peminat Malaysia yang disifatkannya antara paling bersemangat di dunia.

“Saya sangat teruja untuk kembali ke Malaysia. Tenaga penonton di sini sentiasa luar biasa. Saya tak sabar untuk mempersembahkan lagu baharu Ginger secara langsung kerana lagu ini ada vibe tersendiri dan saya yakin peminat Malaysia akan menikmatinya,” katanya.

Tiket konsert akan mula dijual secara rasmi pada 21 Julai 2025 menerusi platform fantopia.io, dengan harga antara RM363 hingga RM493 bergantung kepada kategori tempat duduk.

Radio rasmi bagi konsert ini ialah ERA FM, HITZ FM, MIX FM dan SINAR FM.

Dengan kerjaya yang menjangkau lebih dua dekad, Sean Paul kekal sebagai antara nama paling berpengaruh dalam dunia muzik reggae dan dancehall moden.

Beliau pernah memenangi Anugerah Grammy dan menghasilkan pelbagai lagu hit global yang mencapai status multi-platinum, selain bekerjasama dengan artis antarabangsa ternama seperti Beyoncé, Sia, Dua Lipa dan Major Lazer.

Dikenali dengan persembahan pentas yang penuh tenaga dan karisma, kehadiran semula Sean Paul di Kuala Lumpur dijangka menghidupkan semula semangat muzik dancehall, sekaligus menjadi malam yang sarat dengan aura, rentak dan euforia buat peminat setia di Malaysia.

Komen
Loading...