Ikuti Kami:

Selesaikan Saman Tertunggak Sebelum Memohon Lesen B Penuh – Ketua Pengarah JPJ

Selesaikan Saman Tertunggak Sebelum Memohon Lesen B Penuh – Ketua Pengarah JPJ

KAJANG: Orang ramai yang berhasrat untuk menyertai Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dari Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B Penuh dinasihatkan agar menyelesaikan semua saman tertunggak dan memastikan nama mereka tidak disenarai hitam.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, menekankan bahawa saman yang perlu dijelaskan termasuklah saman yang dikeluarkan oleh JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Walaupun syarat untuk mendapatkan lesen B penuh telah diberi beberapa kelonggaran, pemohon masih perlu memenuhi beberapa syarat, termasuk tiada saman tertunggak,” katanya dalam sidang media mengenai Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Batu 5, Jalan Bangi Lama.

Beliau juga menambah bahawa orang awam perlu menyemak kelayakan mereka melalui aplikasi MyJPJ, kaunter JPJ, atau portal JPJ. Sekiranya status tidak layak walaupun syarat lesen B1 atau B2 dipenuhi, pemohon harus memeriksa semula saman tertunggak dari JPJ atau PDRM.

“Semua saman tertunggak perlu diselesaikan dahulu, dan barulah sistem akan secara automatik mengesan dan mengubah status kepada layak,” jelasnya.

Berkenaan pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang membenarkan kelonggaran syarat, Datuk Aedy memaklumkan bahawa JPJ telah memansuhkan syarat minimum 10 tahun berterusan yang sebelum ini ditetapkan.

“Syarat itu telah dimansuhkan serta-merta. Pemegang lesen B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas, yang tidak mempunyai saman tertunggak, layak untuk memohon peralihan kepada lesen B penuh,” ujarnya.

Setakat ini, terdapat 3.32 juta pemegang lesen B1 dan B2 daripada jumlah keseluruhan 9.31 juta orang yang layak menyertai program khas tersebut, yang menetapkan tiga syarat utama: menjadi warganegara Malaysia, memiliki lesen memandu kompeten (CDL) Kelas B2/B1 yang sah, serta bebas dari senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, dan sabitan kesalahan berat.

Komen
Loading...