Ikuti Kami:

Sentuhan ‘Premium’ Exists Gamit Memori 900 Peminat Setia

Sentuhan ‘Premium’ Exists Gamit Memori 900 Peminat Setia

Kumpulan rock legenda tanah air, Exists, membuktikan mereka masih mempunyai pengaruh yang cukup kuat apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 900 peminat dalam konsert eksklusif Exists Premium Live @ PJ di JioSpace, di sini, malam tadi.

Konsert yang bermula tepat jam 8.30 malam itu menyaksikan kumpulan yang popular sejak era 90-an tersebut mempersembahkan sebanyak 21 buah lagu, merangkumi pelbagai fasa perjalanan seni mereka sepanjang lebih tiga dekad.

Exists membuka tirai persembahan dengan penuh bertenaga menerusi lagu Mama Tolonglah Percaya, sebelum meneruskan momentum dengan lagu-lagu hit seperti Seperti Dulu dan Menantikan Saat Termampu.

Antara pengisian menarik dalam konsert tersebut ialah segmen akustik yang mempamerkan kematangan vokal dan kualiti pemuzik kumpulan itu menerusi lagu Jangan Gentar, Langkah Seiringan, dan Masih Terserlah Ayumu.

Turut mencuri tumpuan ialah lagu Hani Lempengnya Hangus yang membawa elemen santai dan nostalgia kepada audiens yang hadir.

Suasana di JioSpace terus gamat apabila rangkaian lagu ikonik seperti Julia, Bunga, Dirantai Digelangi Rindu, dan Rahsia Pohon Cemara dipersembahkan, yang menyaksikan rata-rata peminat menyanyi bersama (sing-along) mengikut setiap bait lirik.

Kemuncak konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu diserikan dengan lagu-lagu berhantu seperti Jesnita dan Mengintai Dari Tirai Kamar, sebelum diakhiri dengan persembahan istimewa Alasanmu 2025 sebagai penutup tirai.

Konsert Exists Premium Live @ PJ anjuran JioBuddy dengan pengurusan konsert oleh Altus Prohouse itu dilihat berjaya memberikan pengalaman yang lebih intim dan eksklusif kepada peminat setia kumpulan tersebut.

Kehadiran seramai 900 penonton itu juga membuktikan bahawa karya-karya Exists kekal malar segar dan masih mampu menarik minat audiens daripada pelbagai lapisan usia sehingga ke hari ini.

Komen
Loading...