Seorang Wanita Berusia 62 Tahun Ditahan Untuk Membantu Siasatan Kehilangan Sabari. “Jangan Kata Polis Tak Bertindak.”
- oleh Samad Mohd
- 3 bulan lalu
Polis telah menahan seorang wanita berumur 62 tahun bagi membantu siasatan berhubung kehilangan seorang pesara pegawai kewangan dari sebuah agensi kerajaan di Baling, yang hilang sejak 3 September lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, memaklumkan bahawa penahanan wanita tersebut adalah susulan beberapa transaksi pengeluaran wang milik Sabari Baharom, 62, yang berlaku selepas dia dilaporkan hilang.
Walau bagaimanapun, Fisol enggan memberikan komen ketika ditanya sama ada wanita tersebut adalah individu yang dilihat dalam rakaman CCTV melakukan transaksi wang tersebut.
“Siasatan masih dijalankan dan elakkan membuat sebarang spekulasi bahawa pihak polis tidak bertindak,” katanya.
“Kami melihat terdapat perkembangan dalam kes ini dan siasatan akan terus berjalan,” tambahnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Sabari telah hilang setelah keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, pada 3 September. Walaupun Sabari masih belum ditemui, kereta Proton Waja miliknya dijumpai terbakar di Belantik, Sik.
Anak Sabari, Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, percaya bahawa bapanya masih hidup dan mendapati beberapa transaksi pemindahan wang telah dibuat dari salah satu akaun bank bapanya ke akaun milik seorang wanita melalui aplikasi dalam talian.